Friday, December 11, 2009

En. A dilantik dg29 : 1987
MERASA DG32 (dapat kenaikan 25% tahun 2007 bersama beribu-ribu RM tunggakkan)
Lantikan DG41 : tahun 2008
Gaji sekarang: RM 4044.73

Saya umur hampir setengah abad
Lantikan dg29 : 01.05.1982
Lantikan dg41 : 01.10. 2005 (dapat 15% dari Tragedi 2007)
Masih lagi dg41 (InsyaAllah 2012 – DG44)
Gaji sekarang : RM 2871.70
Pencen : 2016 (Pada usia 56 tahun).
Pn. SU

… saya yang lebih senior menerima gaji yang lebih rendah gaji saya RM 2871.70, sedangkan En. A gajinya RM 4044.73. Beza saya 5 tahun lebih senior dari Pn. A dan perbezaan gaji ialah RM4044.73 – RM2871.70 = RM1173.30 (SERIBU SERATUS TUJUH PULUH TIGA DAN TIGA PULUH SEN )

Bayangkan kalau 2 tahun 24 x RM1173.30 = RM28,152.72
Sedih, kecewa, terhina oleh kerana gara-gara dg32 dan mereka menerima kenaikan 25%. Menyebabkan gaji saya lebih rendah berbanding orang yang lebih junior dari saya, lantikan 1987.

Cukup ZALIM, 20 tahun sebagai guru dg29 Cuma dpt 7 + 3
Saya TERANIAYA SEBANYAK 2 KALI
1. Terlepas dg32
2. Kenaikan dari dg29 ke dg41 hanya sebanyak RM5.00
Pn. SU ,
…….cubalah rasai apa yang kami tanggung…….perit, benci, kecewa,
lihatlah apa yang dah jadi. Tolong selesaikan masalah ini dalam masa sisa-sisa tempoh perkhidmatan saya dan rakan-rakan guru-guru tua yang berbaki hanya beberapa tahun saja lagi, untuk diberi pertimbangan ……..

Sekian. Terima-kasih. Pn SU.tolonglah guru-guru dg2941 yang TERANYIANYA ini. Bagaikan GEMPA BUMI apabila guru-guru dg32 mendapat durian runtuh -ribuan ringgit padahal mereka tidak perlu bersusah payah menyambung pelajaran. Sungguh KEJAM !!!!!!!!

Guru Jadi Kerani Sekolah ?

Sumber: Forum Utusan Malaysia |10 Disember 2009|

SAYA merujuk maklum balas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Alimuddin Md. Dom terhadap tulisan saya di Forum Utusan Malaysia yang bertajuk Erti Sebenar Guru Cemerlang.

Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana barangkali saya tidak menulis secara jelas tentang apa yang saya maksudkan dengan beban kerja perkeranian dalam tulisan itu. Biar saya jelaskan lebih lanjut tentang ‘beban kerja perkeranian’.

Contoh pertama: Tugas guru kebajikan dan biasiswa. Saya berpendapat, semua guru, terutama sekali guru tingkatan ialah guru kebajikan. Sebab itulah banyak hal peribadi murid yang mengganggu pembelajaran mereka ada dalam pengetahuan guru. Ibu bapa bercerai, ibu bapa bergaduh, ayah dibuang kerja, ibu lari dari rumah, semuanya diadukan kepada guru. Itu tak mengapa. Jika sedikit tepukan di bahu dan mengesat air mata murid boleh membantu mereka belajar, saya fikir tiada guru yang merungut.

Tetapi guru biasiswa, lain pula ceritanya. Mereka perlu membuat salinan borang, mengedarkan borang, mengutip semula borang dan memastikan semua borang diisi dengan betul, termasuk memastikan semua salinan dokumen sokongan lengkap, seperti salinan kad pengenalan dan sebagainya. Sebelum semua ini bermula, mereka perlu mencari murid yang miskin untuk diberi bantuan biasiswa. Ada banyak jenis biasiswa untuk murid sekolah dan semuanya ada syarat layak yang tertentu, tetapi secara umumnya murid yang keluarganya mempunyai pendapatan kurang daripada seribu ringgit sebulan, layak mendapat bantuan.

Soalnya, tidak bolehkah kerja mengenal pasti murid dan semua ‘kerja-kerja kertas’ itu dibuat oleh kerani? Apa kaitan pengurusan biasiswa yang banyak melibatkan kertas itu dengan kerja guru yang sebenar, iaitu P&P?

Contoh kedua: Saya fikir hampir semua guru sedar bahawa bagi orang-orang politik, semua masalah sosial negara perlu diselesaikan di sekolah. Benar, sekolah memang tempat mendidik, tapi apakah setiap kali ada masalah kita hendak buat satu persatuan atau kelab baru. Tugas guru ialah mendidik murid membezakan apa yang salah dan apa yang betul dan kita mengajar mereka supaya berfikir sendiri. Kita tidak boleh sebut satu-satu ‘merempit salah’, ‘hisap dadah salah’ atau ‘mencuri salah’, kerana ada terlalu banyak kerja jahat dalam dunia ini. Kita perlu ajar murid berfikir sendiri.

Tetapi apabila kita menghadapi masalah mengatasi jenayah, guru diminta membuat satu kelab antijenayah. Bila ada masalah dadah pula, kita buat pula kelab antidadah, seolah-olah masalah dadah bukan jenayah yang tidak boleh digabung dengan antijenayah. Kemudian kita dapati murid kita tidak sayang kepada negara, kita buat pula kelab kenegaraan, seolah-olah Persatuan Sejarah sudah gagal. Kita boleh buat 100 persatuan dan kelab pun mengikut kehendak masyarakat luar, tetapi siapa yang hendak membuat kerjanya? Mengadakan persatuan bukan semata-mata berkumpul dan membuat aktiviti. Guru perlu menyiapkan laporan, mendaftar persatuan, mengambil gambar, membuat perancangan tahunan. Ini semua ‘kerja-kerja kertas’. Mengapa tidak boleh hantar pegawai polis atau pegawai dari Biro Tata Negara (BTN) datang menguruskan persatuan ini di sekolah? Datanglah setiap hari Sabtu misalnya, untuk aktiviti ini.

Contoh ketiga: Guru data. Tugas guru ini ialah merekodkan hal perjawatan guru, misalnya, tarikh lapor diri, tarikh lantik, tarikh temuduga, tarikh sah jawatan, tangga gaji, kursus dan sebagainya. Oleh kerana tugas merekod ini berat, maka guru-guru Data biasanya dikurangkan waktu mengajar, kepada 12 hingga 15 waktu daripada biasanya 25-29 waktu untuk guru-guru lain (setiap waktu ialah 40 minit di sekolah menengah dan 30 minit di sekolah rendah). Masalahnya, guru-guru data ini merekodkan perkara yang Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran sudah tahu, contohnya, tarikh-tarikh penting seperti tarikh lapor diri, tarikh lantik, tarikh sah jawatan. Bukankah surat datang dari SPP?

Contoh keempat: Guru tingkatan. Guru tingkatan ialah antara orang yang paling sakit kepala di sekolah kerana semua guru-guru lain bekerja melalui guru tingkatan. Guru biasiswa hendak edar borang, suruh guru tingkatan. Sekolah hendak cuti, guru tingkatan perlu edar surat. Guru SPBT hendak edar buku teks, guru tingkatan perlu uruskan. Murid kemalangan, hendak mohon insurans, guru tingkatan juga perlu uruskan. Guru Penolong Kanan kokurikulum hendak maklumat kokurikulum murid, pun suruh guru tingkatan, bukan suruh guru persatuan atau kelab. Murid tidak datang sekolah, guru tingkatan perlu hantar surat amaran. Kelas tak ada penyapu, pun guru tingkatan kena belikan. Kadang-kadang kalau kelas kotor, cikgulah yang kena menyapu walaupun sekolah ada tukang sapu swasta. Kalau pegang kelas baik, tak apa. Tapi kalau dapat kelas belakang, memang guru boleh kena serangan jantung.

Sekarang ini syukurlah kita ada sistem online yang mengumpul data peribadi murid yang kita panggil Sistem Maklumat Murid (SMM). Seorang guru dilantik menjaga SMM ini. Jika guru data menjaga maklumat guru, guru SMM menjaga maklumat murid. Tetapi, walaupun SMM sudah ada, guru tingkatan masih perlu mengisi kad 001. Untuk apa, saya pun tidak tahu. Setiap tahun, guru yang memegang kelas tingkatan 1 perlu menyiapkan kad 001 seawal bulan Februari atau Mac. Tetapi selepas itu tiada siapa yang hendak mengurus kad 001 itu, sebab hampir semua keperluan maklumat murid akan diambil dari SMM. Jika kita ada setengah juta murid baru masuk ke tingkatan satu, ada setengah juta lagi murid baru masuk darjah satu. Jika harga kad 001 itu satu ringgit, kita membelanjakan satu juta ringgit untuk kad 001 yang tidak digunakan pun. Ini duit siapa satu juta ini? Dan hal menguruskan kad 001 itu, tenaga siapa kalau bukan guru?

Contoh kelima: Guru perabot. Bila ada masalah perabot sekolah, guru ini kerjanya mengangkut kerusi meja yang rosak dan mengira berapa banyak perlu dihapuskan, berapa banyak perlu mohon yang baru, dan berapa banyak boleh dibaiki. Adakah semua ini membantu murid meningkatkan prestasi akademik dan sahsiah sebagaimana disebut oleh KPPM dalam tulisannya? Barangkali KPPM tidak pernah nampak rupa guru bermandi peluh turun naik tangga mengangkut perabot, ada yang ringan, ada yang berat. Saya pernah nampak; macam buruh yang kerja membuat bangunan.

Saya tidak nafi, di luar negara pun amalannya ialah melantik guru akademik membuat kerja pentadbiran. Tapi berapa banyak kerja pentadbiran yang mereka ada? Adakah sampai memakan masa 70-80% masa kerja? Saya pernah melawat sekolah di luar negara, dan Guru Besar mereka pun mengajar hampir separuh daripada masa kerja dan membuat kajian tindakan. Adakah Guru Besar dan Pengetua kita membuat kajian tindakan? Setahu saya, hanya negeri Johor mewajibkan semua guru membuat kajian tindakan, itupun ramai yang membuat kajian ‘depan komputer’ kerana kesuntukan masa.

Akuilah, kerja pentadbiran memang sudah mengganggu tugas hakiki guru kita. Kalau tidak mengapa Menteri Pelajaran sejak Datuk Hishamuddin bercakap tentang beban kerja guru?

Mengapa Menteri Pelajaran pernah menyebut tentang institut latihan guru sukan, supaya guru akademik tidak perlu lagi membuat tugasan kokurikulum, sebagai usaha mengurangkan beban kerja guru?

Adakah Menteri Pelajaran tanpa latar belakang pendidikan lebih sedar hakikat di sekolah berbanding KPPM yang pernah menjadi guru? dan mengapa perlu ada Standard Guru Malaysia (SGM) jika kita sudah ada Tonggak 12, kalau bukan kerana guru kita sudah terpesong dari apa yang digariskan dalam Tonggak 12, dek kerana kerja-kerja perkeranian ini? Atau adakah SGM dibuat supaya lebih banyak ‘kerja-kerja kertas’ dibuat oleh guru?

Monday, December 7, 2009

Pemimpin Sekolah

Sumber: Pendidikan Berita Harian |1 Disember 2009|

Gambar hiasan

Gambar hiasan

Ikuti pandangan Felo Penyelidik Kanan Institut Pengajian Kepengetuaan Universiti Malaya, Prof Datin Dr Rahimah Ahmad, mengenai peranan pengetua dan guru besar sebagai pemimpin sekolah seperti disampaikan kepada wartawan pendidikan Berita Harian, Norliza Abdullah.

TUGAS pengetua dan guru besar sebagai pemimpin sekolah kini semakin mencabar kerana selain berdepan tuntutan hakiki memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berjalan lancar, pada masa sama mereka terpaksa memenuhi pelbagai tanggungjawab lain.

Antaranya mereka juga perlu menghadiri mesyuarat di pejabat pendidikan daerah dan jabatan pelajaran negeri, selain mengikuti kursus berkaitan.

Bebanan tugas itu menjadikan mereka ada kalanya tidak terkejar dan terpaksa mengagihkan tugas mengurus kepada guru penolong kanan.

Proses mengagihkan tugas kepada guru lain itu dapat mewujudkan semangat kerja dalam pasukan yang tinggi, selain memberi kepercayaan pegawai lain dalam menjayakan tugas mengurus.

Namun pada masa sama, sesibuk mana sekali pun mereka, pemimpin sekolah tidak boleh melepaskan tanggungjawab mengawal selia proses P&P kerana ia adalah aktiviti teras yang menjadi tunggak kecemerlangan pendidikan.

Sunday, December 6, 2009

Erti Sebenar Guru Cemerlang

Erti Sebenar Guru Cemerlang

Sumber: Forum Utusan Malaysia |3 Disember 2009|

SAYA merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, yang menyarankan agar guru-guru menerima sahaja tugasan yang diberi kerana ia akan membentuk sikap bertanggungjawab dan dedikasi kepada tugas sebagai pendidik.

Sebagai guru, saya percaya semua guru bersetuju dengan pandangan beliau. Pendedahan kepada pelbagai bidang tugas memang satu nilai tambah kepada modal insan guru.

Namun begitu, saya berpendapat, sebagai Ketua Pengarah Pelajaran, beliau patut sudah mengetahui tentang bebanan tugas guru yang sudah menyebabkan hampir 80 peratus guru hilang fokus, masa dan tenaga yang sepatutnya ditumpukan kepada tugasan sebenar, iaitu mengajar di dalam kelas. Perkara ini jika berlarutan, kalau ditambah bilangan guru 10 kali ganda pun, tapi kalau semuanya hendak buat kerja pentadbiran, memang tidak berubah keadaan sekolah-sekolah kita.

Inilah yang menimbulkan rungutan guru-guru. Apabila proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) terganggu, murid ketinggalan dalam akademik dan menimbulkan masalah disiplin. Kemudian ibu bapa pula merungut. Padahal sebagai guru, kita sudah melakukan apa yang termampu dengan masa dan tenaga yang terhad.


Tugas perkeranian ini bukan sahaja sudah menyebabkan tumpuan kepada bidang akademik terganggu, malah ia telah mengelabui mata para pentadbir dalam bidang pendidikan juga, bermula dari pentadbir sekolah, sehinggalah ke peringkat jabatan pelajaran negeri-negeri.

Malah, pada pendapat saya, pelantikan Ketua Pengarah Pelajaran dari kalangan guru yang merupakan orang akademik (yang akhirnya terpaksa duduk di pejabat membuat tugasan pentadbiran) ialah bukti bagaimana fokus kepada akademik telah dilonggarkan, kerana tuntutan kerja-kerja pentadbiran. Bayangkanlah kalau seseorang pada tahap kematangan dan pengalaman yang ada pada Alimuddin, duduk di dalam kelas untuk mengajar. Beliau barangkali boleh menghasilkan beratus-ratus lagi anak bangsa yang bakal menyumbang kepada negara. Tapi akhirnya beliau diletakkan di pejabat.

Kenapa tidak kita berikan kerja pentadbiran kepada orang pentadbiran, dan kita orang akademik, buatlah kerja akademik. Kenapa guru yang sudah berpengalaman bertahun-tahun akhirnya disuruh membuat kerja pentadbiran? Bukankah pengalaman dan pengetahuan mereka boleh membantu lebih ramai murid menjadi cemerlang? Adakah menjadi orang akademik terhebat masih rendah tarafnya berbanding orang pentadbiran yang duduk di pejabat?

Lihatlah bagaimana pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, prestasi melintang (sudah tidak akan diamalkan lagi) pelantikan guru pakar, guru bestari dan guru cemerlang. Adakah mereka yang diberi semua penghargaan ini dilantik di kalangan guru yang anak murid mereka menunjukkan peningkatan prestasi akademik? Tidak!

Kebanyakan penerima anugerah dan pentadbir-pentadbir sekolah, pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri dilantik di kalangan orang yang menonjol di bidang pentadbiran semata-mata. Sebab itulah kita lihat masih ada murid yang gagal subjek-subjek tertentu walaupun diajar oleh guru pakar, guru cemerlang dan guru bestari. Ini kerana yang ‘bestari’, ‘cemerlang’ dan ‘pakar’ ialah kerja pentadbiran guru itu, bukan teknik P&Pnya. Sekarang ini dengan peperiksaan PTK, guru yang malas masuk kelas pun boleh dapat kenaikan gaji dan pangkat.

Malah, saya sendiri pernah melihat seorang guru yang sangat konsisten. Guru ini setiap tahun (selama hampir 18 tahun) mencatatkan peratus lulus subjek Sains melebihi 95 peratus di semua kelas yang diajarnya, walau pun saban tahun mendapat kelas paling hujung, walaupun mengajar murid yang buta huruf, walaupun format peperiksaan kerap bertukar.

Beratus-ratus muridnya daripada tidak mengenal huruf, akhirnya mendapat A dalam subjek Sains SPM. Tetapi guru ini tidak pernah diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, hanya kerana guru ini tidak mempunyai hubungan baik dengan pentadbir sekolah yang hanya mementingkan kerja pentadbiran. Guru ini pula memang menolak kerja pentadbiran kerana kerja pentadbiran akan menyebabkan dia mengabaikan murid-muridnya, sesuatu yang guru ini enggan lakukan.

Bagi saya, sekalipun guru ini dilihat ‘melawan ketua’, tetapi komuniti kecil guru-guru dan murid-murid sekolah menyanjung dan menghormati guru ini kerana keberaniannya meletakkan fokus pada apa yang berhak, iaitu murid-murid. Guru ini juga tidak lokek membantu guru-guru muda dari segi memberi bimbingan tentang teknik P&P yang berkesan. Bagi guru muda seperti saya, inilah guru dalam erti kata sebenar.

Bagaimana boleh berlaku, dalam Kementerian Pelajaran Malaysia, guru yang pandai mengajar diketepikan berbanding guru yang hanya pandai menaip dan mengemas fail? Di manakah profesionalisme guru? Bagi saya, seorang guru itu profesional jika dia pandai mengajar kerana itulah sebenarnya tugas hakiki seorang guru. Tapi hari ini, guru yang membuat kerja yang betul tidak diberi penghargaan sepatutnya, dan guru yang tidak pandai mengajar pula yang diletakkan di tempat tinggi, diberi elaun, kuasa dan jawatan. Bagaimanakah guru-guru yang setiap hari berhempas-pulas dengan murid di dalam kelas hendak menghormati pentadbir mereka yang tidak pandai mengajar pun?

Malah, pentadbir itu pula yang akan duduk di belakang kelas menilai sama ada guru lain pandai mengajar atau tidak. Hanya kerana mereka pentadbir, mereka ada kuasa memberi markah. Tapi mereka menjadi pentadbir bukan kerana mereka pandai mengajar, tapi pandai membuat kerja lain selain mengajar. Bagaimanakah pentadbir sekolah seperti ini layak menuntut penghormatan daripada warga guru? Saya pernah melihat seorang pengetua sekolah yang diletakkan mengajar hanya dua waktu seminggu, terpaksa meminta guru lain mengambil alih kelasnya kerana dia terlalu kerap keluar dan tidak ada di sekolah.

Jika hari ini masyarakat melihat guru sebagai tidak professional, itu ialah kerana hampir semua guru terpaksa membuat kerja menaip dan mengemas fail, suatu kerja yang boleh dibuat oleh budak lepasan SPM.

Jika hari ini masyarakat melihat guru tidak berilmu, ia adalah kerana guru asyik mengisi borang, bukan mengisi dada dengan ilmu.

Saturday, November 21, 2009

Kita percaya atas sokongan dan dokongan rakyat malaysia dibawah kepimpinan PM kita hari ini negara akan lebih maju dibidang ekonomi walaupun negara sedang di ancam oleh kegawatan global. Jangkaan 5 % akan menjadi kenyataan. Perangi rasuah dari masa ke semasa malah perasuah hendaklah dibawa kemuka pengadilan sekiranya terbukti, malah jangan sekali-kali bersekongkol dengan mereka. Rakyat mula mual dengan berbagai slogan. slogan hanya tinggal slogan.

Saturday, November 14, 2009

MAJLIS MAKAN MALAM DI NEW HORIZON


Majlis makan malam pelajar asrama Villa Puteri yang di adakan di Kota Bharu pada hari Rabu lepas meninggalkan kenangan manis terutama pelajar tingkatan 5 yang akan meninggalkan sekolah menengah Kebangsaan Gaal di penghujung tahun ini .
Suka duka sepanjang menimba ilmu di sekolah ini memberi kesan yang mendalam ujar seorang pelajar yang bernama Sezira (gambar kiri) dari kampong Gaal.
Saya sungguh teruja melihat kesungguhan guru-guru sekolah ini mendidik dan mengajar kami agar berjaya cemerlang dalam peperiksaan SPM 2009. Saya ucapkan berbanyak terima kasih tidak terhingga semoga Allah sajalah yang membalasnya

MAJLIS KERAIAN VILLA PUTERI SMKG


Tn. Hj. Awang bin Daud (gambar kiri) pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Gaal Pasir Puteh Kelantan sedang menyampaikan ucapan di majlis makan malam Villa Puteri yang diadakan di salah sebuah restoren yang terkenal di bandar Kota Bharu yang bernama New Horizon.
Beliau mengingatkan kepada para pelajar agar berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dibidang kurikulum dan ko kurikulum.
Seramai 120 orang pelajar beserta 30 orang guru turut hadir bagi memeriahkan majlis tersebut. Pelajar diraikan dengan jamuan makan yang istemewa .Sekiranya pada tahun ini para pelajar yang tinggal di asrama menunjukkan prestasi yang baik dari segi akademik beliau membayangkan pada tahun akan datang majlis yang serupa akan diadakan ditempat yang lebih menarik lagi disekitar Kota Bharu ini.





SUNNAH NABI (S.A.W) SEBAGAI PENYELESAI MASALAH


Prof Madya Dr Fauzi Deraman

Pendahuluan:

Masalah yang melanda umat Islam khasnya dan umat manusia umumnya menjadi topik perbincangan yang semacam tiada garis penamat. Ia melibatkan khalayak yang pelbagai dari ulamak dan pendakwah, pemimpin umat dan masyarakat bawahan, tidak terkecuali pakar dalam berbagai bidang yang melibatkan kehidupan umat. Ia dilakukan dalam bentuk diskusi kecil dan tertutup, juga persidangan besar dan terbuka. Sesudah itu secara rasminya dikeluarkanlah senarai resolusi dan cadangan. Apakah masalah itu dapat diselesaikan?


Realitinya soal kepakaran dan mereka yang mempunyai keahlian tidak berbangkit. Dunia memiliki tenaga pakar dalam apapun bidang. Berbagai formula dan pendekatan telah diperkenalkan. Numun kesudahannya hanya kegagalan jua. Bukan semakin reda malah semakin rumit.


Masalah yang melanda manusia tidak dapat diselesaikan berdasarkan formula yang lahir dari akal pemikiran manusia, walaupun Islam telah meletakkan akal ditempatnya yang tersendiri. Malah hukum hakam agama ini hanya ditaklifkan keatas mereka yang berakal sahaja. Namun kemampuan akal dan ilmu milik manusia terbatas jangkauannya. Yang pasti ia samasekali tidak boleh mengatasi wahyu. Tidak ada yang lebih benar dari Kitab Allah dan tiada hidayat yang lebih baik dari hidayat yang dibawa oleh Muhmmad (s.a.w.). Peranan akal hanyalah datang selepas membenar risalah dan nubuwwah.

Justeru terhadap perkhabaran wahyu, seorang mukmin selayaknya memberi respon dengan berkata: Kami beriman dan kami membenarkannya. Manakala bagi wahyu yang berbentuk hukum hakam, mereka akan berkata: Kami dengar dan kami patuh. Akal hanya digunakan untuk memahami nas-nas wahyu dengan kefahaman yang benar dan tidak mengikut sentimen nafsu sendiri kerana ia terlarang. Firman Allah:


(Janganlah kamu menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkan kamu dari jalan Allah)[2]


Tuntutan kembali kepada wahyu:


Hadith Nabawi bersama-sama al-Qur’an adalah sumber utama Islam sekaligus merupakan asasnya. Hukum hakam dan serba serbi adalah bersumber dari keduanya. Keduanya tidak terpisah dan dan seiring.


Al-Qur’an dan hadith merupakan wahyu Allah kepada nabiNya (s.a.w.), perbedaannya hanyalah yang al-Qur’an adalah wahyu yang diriwayatkan dengan lafaz sedangkan hadith adalah wahyu yang diriwayatkan dengan makna.[3] Ada ulama yang menggunakan istilah wahy matluw sedangkan hadith adalah wahy maqru’.[4]


Firman Allah: [5]


وَأَنزَلَ اللّهُ عَلَيْكَ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ

(Dan Allah telah menurunkan kepadamu al-Kitab dan al-Hikmah).

Para ulama berpendapat yang al-hikmah yang disebut pada ayat di atas bukanlah al-Qur’an tetapi yang suatu yang lain yang diturunkan untuk menjelaskan rahsia dan hukum-hakam syariatNya.[6] Imam al-Shafi`i setelah memperturunkan ayat-ayat yang menyebut perkataan al-Kitab wa al-Hikmah telah menyimpulkan yang al-Hikmah adalah hadith. Ia bukanlah pendapat yang baru kerana Qatadah, Hassan al-Basriy dan Yahya bin Abi Kathir sebelum beliau juga berpendapat sedemikian. Pendapat yang sama dipetik dari Ibn Jarir al-Tabari, Muhammad Fakr al-Din al-Razi, Ibn Kathir, al-Shawkani, al-Khazin dan al-Nasafi dalam karya tafsir mereka masing-masing.


Ini tidak termasuk lagi hadith yang menjelaskan yang hadis adalah wahyu, antaranya:


“Ketahuilah yang aku dikurniakan al-Kitab dan seumpamanya bersamanya..”[7]


Dengan itu kedudukan hadith sebagai penjelas terhadap al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai pelaksanaan amali dari Rasulullah (s.a.w.) terhadap apa yang terdapat dalam al-Qur’an adalah fakta yang berasaskan al-Qur’an, hadis-hadis nabi sendiri, ijmak ummah dan akal yang waras.


Berpengang dengan sunnah dan merujuk kepadanya merupakan perkara yang sudah ijmak sepanjang zaman, walaupun ada suara-suara sumbang dan pendapat yang songsang terhadap sunnah, namun ianya keluar dari kalangan yang sudah diketahui umum akan kefahaman Islam mereka.

Disamping nas-nas al-Qur`an yang menganjurkan setiap Muslim berpegang dengan Sunnah Rasulullah (s.a.w.), terdapat sejumlah hadith dari Rasulullah (s.a.w.)


Kalangan salaf al-Salih khususnya para sahabat yang menerima Islam ini dari Rasulullah (s.a.w.) benar-benar memahami perkara ini. Ini jelas dari kenyataan yang keluar dari mereka dan juga amalan mereka.


Al-Suyuti menyebut dalam al-Durr al-Manthur yang Khalid bin Usayd pernah menyebut di hadapan Ibn `Umar: Kami mendapati mengenai solat semasa kami dalam keadaan bermukim dan juga solat semasa dalam ketakutan, kami tidak mendapati solat musafir dalam al-Qur`an? Ibn `Umar menjelaskan: Wahai anak saudaraku! Sesungguhnya Allah telah mengutuskan kepada kami Muhammad (s.a.w.) dalam keadaan kami tidak mengetahui sesuatupun, sesungguhnya kami berbuat apa yang Rasulullah membuatnya, qasar solat semasa musafir adalah amalan yang disunnahkan oleh Rasulullah (s.a.w.).[8]


Sahabat-sahabat besar, Abu Bakr dan Umar semasa mereka menjadi khalifah apabila ada aduan dan kemusykilan, kedua-duanya akan merujuk kepada hadith apabila tidak terdapat jawapan dalam al-Qur`an.

Al-Darimi meriwayatkan dari Maymun bin Mahran, katanya: “Abu Bakr apabila ada pertikaian beliau akan melihat kepada Kitab Allah, apabila terdapat sesuatu yang boleh diputuskan dengan al-Qur`an beliau akan diputuskan dengannya di kalangan mereka, jika tidak terdapat dalam Kitab Allah, dilihat apakan ada dari Rasulullah sesuatu mengenainya,jika diketahui ada akan diputuskan dengannya, jika tidak diketahui beliau akan keluar kepada orang ramai dengan katanya: Datang kepada saya sekian…sekian, telah saya lihat dalam Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah (s.a.w.), saya tidak mendapati sesuatu, adakah kamu mengetahui yang Rasulullah (s.a.w.) telah memutuskan apa-apa keputusan mengenainya? Mungkin ada yang berdiri dan berkata: Ya! Lalu diputuskan dengan apa yang diputuskan oleh Rasulullah (s.a.w.), seraya berkata: Segala puji bagi Allah yng telah menjadikan ada dikalangan kami seseorang yang menghafaz dari Nabi kami.[9]

Jika tidak didapati, akan dijemput pemuka kaum dan ulama` mereka, lalu diminta pandangan mereka, apabila mereka sepakat atas apa-apa perkara akan diputuskan dengan demikian.

‘Umar juga berbuat demikian, jika tidak terdapat dalam al-Kitab dan al-Sunnah, diteliti apakah ada keputusan mengenai telah dibuat oleh Abu Bakr, jika tidak beliau akan mengumpulkan pimpinan kaum dan ulama mereka dan diminta pandangan, bila tercapai kata sepakat akan diputuskan dengannya.


Beliau juga pernah menulis kepada Surayh semasa dilantik menjadi Qadi di Kufah, antara lain dinyatakan:


“Telitilah apa yang jelas bagi kamu dari Kitab Allah, dan janganlah bertanya kepada seorangpun, jika tidak nyata bagimu, ikutlah dalam perkara tersebut Sunnah Rasulullah (s.a.w.), jika tiada berijtihadlah dan berbincanglah dengan ahli ilmu dan orang yang baik-baik”.[10]

Malah beliau pernah berkata: Akan datang kepada kamu mereka yang berdebat denganmu mengenai perkara syubhat yang ada dalam al-Qur`an lalu ambilkan mereka dengan sunnah kerana pendokong sunnah sahaja yang lebih mengetahui mengenai Kitab Allah.[11]

Demikianlah terus menerus para sahabat dan tabi`in merujuk kepada sunnah di zaman mereka dalam segala urusan, samada ibadat, penentuan halal haram, muamalat dan selainnya. Para imam-imam besar mempunyai pandangan yang cukup jelas mengenai sunnah Rasulullah (s.a.w.), malah menganjurkan supaya pendapat dan pendangan mereka hendaklah dipadankan dengan hadith Rasulullah (s.a.w.) selepas al-Qur`an.


Imam Abu Hanifah pernah berkata:“Apabila pandanganku menyalahi Kitab Allah dan Hadith Rasul (s.a.w.) maka tinggalkan pandanganku itu”.[12]


Imam Malik bin Anas pula berkata:“Setiap orang boleh diterima pandangan mereka dan ditolak kecuali Rasulullah (s.a.w.).”[13]

Imam al-Syafi’iy berkata: Apabila sah sesuatu hadith maka campaklah pandanganku ke dinding”.[14]

Imam Ahmad bin Hanbal pula berkata: “Jangan kamu bertaklid kepadaku, dan jangan kepada Malik, juga jangan kepada Awza’iy akan tetapi ambillah dari tempat mereka mengambilnya”.[15]

GESAAN SUPAYA SENTIASA BERPEGANG DENGAN HADITH:


Sebagai Muslim, kita sentiasa dianjurkan supaya sentiasa menjadikan Sunnah Rasulullah sebagai pegangan. Oleh kerana Rasulullah (s.a.w.) itu adalah uswah bagi setiap warga Islam, maka sekaligus sunnah atau hadithnya hendaklah dijadikan pegangan. Ia merupakan panduan bagi umat Islam bersama al-Qur’an. Umat Islam tidak dibiarkan mencari sendiri landasan hidupnya. Betapa hebatpun manusia ia tetap memerlukan bimbingan wahyu, justeru ilmu yang dikurniakan untuk manusia pada hakikatnya sangat sedikit dan terbatas di sekitar alam benda ini sahaja. Ia tidak dapat menjangkau alam metafizik dan rohani.


Rasulullah (s.a.w.) meninggalkan umatnya setelah syariat yang dijadikan pegangan dan panduan ini lengkap sempurna.


Sabda Rasulullah (s.a.w.):“Aku tinggalkan kamu dalam suasana yang jelas nyata, malam dan siangnya sama sahaja”.[16]


Abu Zar (r.a.) berkata: Kami telah ditinggalkan oleh Rasulullah (s.a.w) dan tidak bergerak burung akan sayapnya kecuali telah disebut kepada kami darinya ilmu.


Dalam hadith lain, Rasululah (s.a.w.) bersabda:“Tidak tertinggal satupun dari perkara yang mendekatkan ke syorga dan menjauhkan dari neraka kecuali telah diterangkan untuk kamu semua”.[17]


Kalau Nabi-nabi terdahulu berkewajipan menunjukkan kepada umatnya kebaikan dan memberikan amaran terhadap perkara buruk, seperti yang dijelaskan oleh baginda sendiri dalam satu hadith riwayat Muslim,[18] masakan baginda sendiri tidak berbuat seperti yang telah dilaksanakan oleh nabi-nabi tersebut.


Rasulullah (s.a.w.) menjelaskan yang sebaik-baik hidayah dan petunjuk adalah petunjuk Muhammad, sejahat-jahat perkara adalah perkara yang direka-reka dan setiap bid’ah itu adalah sesat.[19]


Dalam satu hadith yang lain baginda telah memerintahkan melalui sabdanya: “Saya berpesan kepada kamu dengan taqwa kepada Allah,dengar dan patuh walaupun ia seorang hamba Habsyi, maka sesungguhnya sesiapa yang hidup selepas ini akan melihat selepasku perselisihan yang banyak, dengan itu hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ al-Rasyidin,gigitlah dengan gigi geraham kamu…[20]

Bertitik tolak dari realiti inilah para sahabat, tabi’in juga para ulama’ menganjur dan mengingatkan generasi selepas mereka supaya sentisa berpegang teguh dengan sunnah yang ditinggalkan oleh baginda (s.a.w.). Diperturunkan di sini beberapa contoh:


Imam al-Zuhri berkata: Ulama kita yang terdahulu pernah berkata: Berpegang dengan sunnah adalah penyelamat.[21]


Al-Awza’ii berkata: Dikatakan ada lima perkara yang berpegang dengannya para sahabat Muhammad dan mereka yang mengikutnya dengan baik: Melazimkan diri dalam jamaah, mengikut sunnah, mengimarahkan masjid, tilawah al-Qur’an,berjihad pada jalan Allah.[22]

Abdullah bin al-Daylami berkata: Telah sampai kepadaku yang perkara pertama yang akan hilang dari agama ini ialah meninggalkan sunnah, hilang dari agama ini sunnah satu demi satu, sebagaimana hilang dari tali itu kekuatan seutas demi seutas.[23]


Abu Muhammad Sahl bin Abdullah al-Tustari berkata: Prinsip kita ada enam:Berpegang dengan kitab Allah, mengikut sunnah Nabi (s.a.w.), Makan yang halal, Menahan diri dari menyusahkan orang lain, menjauhi dosa, taubat dan melaksanakan segala hak.[24]


Beliau juga ada berkata: Prinsip mazhab kami ada tiga: Mengikut Nabi (s.a.w.) dalam akhlak dan perbuatan, Makan yang halal, Ikhlas niat dalam semua amalan.[25]


Jelaslah para fuqaha menjadikan sunnah sebagai sandaran dalam hukum hakam. Tidak terkecuali kalangan mereka yang melibatkan dalam kehidupan kerohanian di zaman, begitu komited dalam mengikut sunnah Rasulullah (s.a.w.). Syaikh al-Sufi, Al-Junayd ada berkata: Kesemua jalan tertutup bagi setiap makhluk kecuali sesiapa yang mengikut jejak Rasul, mengikut sunnahnya, melazimi jalannya, kesemua jalan kebajikan dibuka untuknya.[26]

Beliau juga berkata:Siapa yang tidak menghafaz al-Qur`an dan tidak menulis hadith, tidak dijadikan ikutan dengannya dalam urusan ini kerana ilmu kami ini diikat dengan Kitab dan Sunnah.

Zu al-Nun al-Masri pula berkata: Antara tanda kecintaan kepada Allah adalah dengan mengikut Kekasih Allah (s.a.w.) dalam akhlak, perbuatan, perintah dan sunnahnya". Ahmad bin Abi al-Hawari pula berkata: Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan tanpa mengikut sunnah maka batallah amalannya.[27]


Justeru penilaian terhadap hadith diukur berdasarkan sanadnya. Imam Muhammad bin Sirin berkata: Isnad adalah al-Din, Kalaulah tidak dengan sanad, nescaya orang akan berkata apa yang hendak dikata.


Abu Hasan al-Shazli berkata: Tiada jaminan bagi kami bersih dalam kasyaf tetapi dijamin untuk kami bersih dalam Kitab dan Sunnah.

Berpengang dengan sunnah dan merujuk kepadanya merupakan perkara yang sudah ijmak sepanjang, walaupun ada suara-suara sumbang dan pendapat yang songsang terhadap sunnah, namun ianya keluar dari kalangan yang sudah diketahui umum akan kefahaman Islam mereka.


Kenapa mesti berpegang dengan Sunnah Rasulullah s.a.w.?


Dengan berpegang kepada sunnah, menunggu kebaikan dan kebajikan yang kembali kepada individu itu sendiri, masyarakat, agama dan tidak ketinggalan dunia.


Ibn Qudamah berkata: Dalam mengikut sunnah itu keberkatan kerana seiring dengan syarak, redha Allah, ketinggian kedudukan, keselesaan fizik, ancaman untuk syaitan dan mengikut jalan yang lurus.[28]


Ibn Hibban menyebut: Dalam komitmen dengan sunnah itu: keselamatan, kehormatan, lampunya tidak terpadam,hujjahnya mantap. Menjaganya terpelihara, meninggalnya adalah penyesalan…[29]


Syeikh Abd Ghani Abd al-Khaliq dalam Hujjiah al-Sunnah telah memetik apa yang disebut oleh al-Ghazali: Kunci kebahagian adalah dalam mengikut sunnah dan mengikut Rasulullah (s.a.w.) dalam setiap sumbernya, diam dan geraknya hinggakan makan minum,gerak geri, tidur dan percakapan, bukan dalam perkara ibadat sahaja malah kebiasaan juga.[30]


Malah diterima atau ditolaknya sesuatu amalan yang dikerjakan terhenti sejauhmana ia menepati sunnah Rasulullah (s.a.w.). Al-Hasan berkata: Tidak baik perkataan kecuali dengan amal, tidak baik kata-kata dan amal kecuali dengan nita dan tidak baik perkataan, amalan dan niat kecuali dengan sunnah. Said bin Jubayr pula berta: Tidak diterima perkataan kecuali dengan amalan, tidak diterima perkataan dan amalan kecuali dengan niat dan tidak diterima perkataan, amalan dan niat kecuali menepati sunnah.[31]


Rengkasnya dengan mengikut sunnah, menunggu di sana faedah yang banyak, antaranya:

Dapat mencapai kecintaan dari Allah.

Dapat menampung kekurangan dalam amalan fardhu.

Ganjaran yang berlipat ganda.

Terpelihara dari terjebak dengan bid`ah.

Menegakkan syiar Allah

Dapat mengelakkan perpecahan.


Sunnah adalah penyelamat:


Umat Islam telah ditinggalkan oleh Rasulullah (s.a.w.) lebih dari 1,400 tahun. Rata-rata mereka berhadapan dengan kemelut untuk meneruskan survival mereka setelah diserang dan ketinggalan dalam setiap aspek kehidupan. Namun umat Islam tidak boleh berputus asa dan berpeluk tubuh kerana mereka mempunyai potensi untuk bangkit dan kembali disegani. Masakan tidak, umat Islam dikurniakan dengan insentif yang cukup banyak untuk memulihkan semula kedudukan mereka.


Apa yang sudah berlalu mestilah diteladani untuk merangka masa depan yang gemilang. Pengalaman lampau adalah antara aset yang sangat berguna.Imam Malik r.h berkata: Tidak akan jadi baik umat yang akhir kecuali dengan apa yang sudah baik generasi awalnya.

Salaf al-salih disamping mantap kekuatan fizikalnya, mereka juga unggul dalam kekuatan rohani dan mempunyai komitmen yang tinggi dan tidak berbelah bahagi dengan wahyu iaitu al-Qur`an dan al-Sunnah. Hasilnya mereka dapat menguasai satu pertiga dunia. Kalau mereka boleh melakukannya, masakan generasi terakhir tidak boleh melakukannya.

Penekanan sunnah terhadap aspek akhlak:


Gejala sosial yang melanda masyarakat kita adalah manifestasi dari kelunturan akhlak mereka. Sekaligus mengambarkan tahap penghayatan mereka terhadap amalan-amalan utama dalam Islam kerana amalan-amalan tersebut mempunyai kaitan yang rapat dengan prinsip-prinsip akhlak Islam.


Solat boleh menghalang dari kerja-kerja jahat dan keji. Zakat pula ada laitan yang rapat dengan pembersihan rohani, puasa adalah simbolik dari usaha menahan diri dari dorongan nafsu. Pelaksanaan ibadat haji merupakan aplikasi kepada ajaran-ajaran akhlak Islam.

Kelemahan akhlak adalah bukti akan kelemahan keimanan. Allah SWT semesa memerintahkan kepada kebaikan dan melarang dari keburukan menjadikannya sebagai tuntutan iman. Cukup banyak terdapat dalam al-Qur`an ayat-ayat yang dimulakan dengan “Wahai orang yang beriman…” lalu disusuli dengan perintah yang dikehendakinya. Rasulullah (s.a.w.) menjelaskankan yang iman yang kuat sahaja yang boleh melahirkan iman yang kuat. Baginda (s.a.w) menjelaskan malu dijadikan kembar bagi iman, tidak beriman orang yang menyusahkan jirannya, orang yang beriman hendaklah berkata yang baik atau diam.


Apalah maknanya orang yang pada zahirnya kelihatan melaksanakan ibadat yang diperintah agama sedangkan masih melakukan perkara yang bertentangan dengan nilai akhlak Islam. Diceritakan kepada Nabi (s.a.w.) perihal seorang yang banyak solat, puasa dan sedekahnyanya sedang ia menyakiti jirannya dengan lidahnya, baginda berkata: dia dalam neraka! Seorang lagi berkeadaan sebaliknya dan sedekahnyapun dari barang yang tidak mahal harganya sedang dia tidak menyakiti jirannya. Nabi bersabda: Dia dalam syorga. (Riwayat Ahmad).


Dengan itu akhlak mempunyai kaitan yang sangat erat dengan iman atau akidah, malah akidah merupakan paksi utama akhlak dalam Islam. Aqidah yang asas utamanya adalah beriman akan kewujudan Allah Yang Maha Pencipta, peri kewujudannya dimaklumkan kepada manusia melalui risalahNya yang dibawa oleh para rasul, melalui merekalah manusia mengetahui baik dan buruk, benar dan palsu. Beriman wujudnya Hari Pembalasan adalah ajaran akidah yang penting. Setiap yang dikerjakan di dunia ini tidak akan berlalu begitu sahaja kecuali akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. Imanlah yang menjana segala tindakan yang baik.


Kaitan iman dengan akhlak cukup jelas apabila Rasulullah (s.a.w.) bersabda: Tiga perkara yang ada pada diri seseorang, maka ia adalah munafik, walaupun ia puasa, solat, haji dan umrah, malah ia mengaku yang ia adalah seorang muslim: Apabila berkata dia dusta, apabila berjanji dia mungkir dan apabila diberi amanah ia khianat. (Riwayat Muslim).

Ulama Islam terkenal. Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya Khuluq al-Muslim memuatkan tajuk “Kearah Alam yang lebih baik” dimana ditegaskan yang Islam datang membawa manusia kearah kehidupan yang mulia melalui sifat terpuji dan adab. Ini menjadi inti dari ajaran Islam itu. Sebarang penyelewengan darinya dihitung sebagai cuba keluar darinya dan menjauhkan diri darinya.[32]


Kecemerlangan akhlak mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan jiwa yang jernih. Akhlak samada baik atau buruk adalah manifestasi dari apa yang ada dalam jiwanya. Justeru, Islam amat menekankan betapa perlunya pendidikan kerohanian dan penjernihan jiwa.


Rengkasnya, akhlak adalah antara cabang utama yang terkandung dalam syariat yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w.), malah salah satu daripada tujuan perutusannya ialah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Sabdanya:


“Sesungguhnya saya diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak”[33]


Rasulullah (s.a.w.) menghargai ketinggian akhlak dan memberi amaran terhadap keburukannya. Sabda baginda:


“Sesungguhnya Allah menyukai ketinggian akhlak dan membenci kerendahannya”. (Riwayat al-Hakim).[34]


Justeru kemuliaan akhlak akan membawa kepada kebaikan dalam kehidupan beragama, kehidupan di dunia dan kebaikan pula di akhirat.

Akhlak pada keseluruhannya adalah pelaksanaan bagi sifat yang positif maupun sebaliknya.Justeru Rasulullah (s.a.w.) bukan hanya membawa teori akhlak atau gagasannya sahaja. Baginda tidak hanya menjelaskan bentuk akhlak yang baik yang menjadi tujuan perutusannya itu, malah Baginda (s.a.w.) sendiri melaksanakannya sesempurnanya kerana untuk melahirkan akhlak yang baik tidak memadai seorang pendidik hanya memberi arahan berkata: “Lakukan ini” atau “jangan lakukan ini”. Ia memerlukan kepada contoh tauladan. Justeru Rasulullah (s.a.w.) telah menjadi tauladan yang terbaik. Peri akhlaknya telah ditegaskan sendiri oleh Allah dalam firmanNya:


(Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agong).[35]


Dengan itu baginda adalah qudwah dan uswah. Firman Allah:


(Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Akhirat dan dia banyak menyebut Allah).[36]


Malah Umm al-Mukminin Aishah apabila ditanya mengenai akhlak baginda, jawabnya:

“Akhlaknya adalah al-Qur`an”.[37]


Inilah istimewanya umat Islam bila Allah (s.w.t.) telah menjadikan untuk mereka role model yang unggul di segi akhlaknya. Ini bermakna tidak ada perkara yang berkaitan dengan akhlak (juga perkara-perkara) samada yang baik maupun sebaliknya yang terabai dan ditinggalkan begitu sahaja tanpa penjelasannya. Kesemuanya mendapat sentuhan Nabawi. Perkara yang baik dinyatakan dalam bentuk contoh dan penghayatan, manakala yang tercela pula dinyatakan untuk dihindari dan dijauhi oleh umatnya.


Peri keprihatinan Rasulullah (s.a.w.) terhadap aspek akhlak ini cukup jelas dengan terdapat dengan banyaknya hadith yang berkaitan dengan adab yang dimuatkan dalam karya-karya utama hadith. Imam Bukhari sahaja dalam Kitab al-Adab telah memuatkan 256 hadith, tidak termasuk lagi dalam topik (kitab) yang berkaitan dengan adab. Beliau juga telah meyusun karya khusus berkiatan adab dan dinamakan dengan al-Adab al-Mufrad. Karya ini telah memuatkan 1322 hadith. Ini belum termasuk hadith-hadith yang dimuatkan dalam karya lain dengan mengambilkira pengulangan.


Diperturunkan contoh-contoh hadith Nabi (s.a.w.) yang menjelaskan kedudukan akhlak dan keistimewaan mereka yang memiliki akhlak yang terpuji.


Seorang lelaki bertanya Nabi (s.a.w.): Siapakan hamba yang paling dikasihi disisi Allah? Jawabnya: Yang paling baik akhlaknya. (Riwayat al-Tabarani dari Usamah bin Syurayk).


Dalam riwayat lain: Apakah sebaik-baik perkara yang dikurniakan kepada seseorang insan? Jawabnya: Akhlak yang baik. (Riwayat Ibn Hibban).


Sabda baginda: Perkara buruk dan keji itu samasekali bukan dari ajaran Islam, sebaik-baik orang disegi keislamannya ialah yang paling baik akhlaknya. (Riwayat Tirmidhi).

Nabi (s.a.w.) pernah ditanya: Siapakah mu`min yang paling sempurna imannya? Jawabnya: Yang paling baik akhlaknya. (Riwayat al-Tabrani).


Rasulullah (s.a.w.) pernah bertanya: Sukakah kamu saya memberitahu kamu orang yang paling saya kasih dan yang hampir denganku pada Hari Kiamat? – diulangnya dua atau tiga kali – Para sahabat menjawab: Ya! Wahai Rasulullah. Sabdanya: Yang paling baik akhlaknya. (Riwayat Ahmad).


Dalam satu hadith riwayat Abu Daud. Aisyah r.a. berkara: Saya mendengar Rasulullah bersabda: Seorang mukmin boleh mencapai dengan akhlaknya yang baik tahap orang yang berpuasa dan berqiam”.


Tuntutan mengikut Sunnah Rasulullah (s.a.w.) tidak terhenti kepada perkara-perkara yang dikaitkan dengan ibadat sahaja, malah ia merangkumi kesemua aspek. Akhlak yang dibincang ini tidak terkecuali. Hanya dengan mengikut sunnah baginda (s.a.w.) segala kemelut yang melanda umat ini termasuk krisis moral akan dapat berkesan dan menyeluruh.

Penutup:

Tiada pilihan bagi umat Islam kecuali kembali ke pangkal jalan setelah sesat di hujung jalan. Setelah sistem dan teori yang diimpot gagal memberi penyelesaian kepada masalah umat. Kenapa teragak-agak lagi untuk kembali kepada penyelesaian wahyu? Kembalilah kepada Islam. Berilah peluang kepadanya untuk membuktikan keupayaan dan keampuhannya dalam menyelesai masalah yang membelenggu umat.


Wallahu A`lam.



[1] Kertas yang dibentangkan di Seminar Hadith Anjuran Masjid al-Safaah, Singapura pada 4 Februari 2007.

[2] Surah Sad, 38:26.

[3]Abd Rahman bin Abu Bakr al-Suyuti, al-Itqan fi Ulum al-Qur`an, (Misr:Mustafa al-Halabi, 1370H, 1/153.

[4] `Ali bin Ahmad Ibn Hazm, al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, Kahirah, al-Khanji, 1345H, 1/97.

[5] Surah al-Nisa`, 4:113.

[6] Mustafa al-Siba`iy, Al-Sunnah wa Makanatuha fi al-Tasyri` al-Islamy, Beirut: Al-Maktab al-Islami, hal.55.

[7] Hadith riwayat Ahmad dalam al-Musnad, 4/130,131; Ibn Hibban dalam Sahihnya (al-Ihsan), 1/173).

[8] Hadith dirawayatkan oleh Al-Nasaii dalam al-Sunan, hadith no.1435, Ibn Majah dalam al-Sunan, hadith no. 1066

[9] Imam Abu Muhammad Abd Allah bin Abd al-Rahman ibn Bahram al-Darimi, Sunan al-Darimi, Damsyik:Dar al-Qalam, 1991, 1/62.

[10] Jalal al-Din al-Suyuti, Miftah al-Jannah fi al-Ihtijaj bi al-Sunnah, Kahirah: Maktabah al-Thaqafah al-Diniyyah, hal.50. Katanya: Diriwayatkan oleh al-Bayhaqi dan al-Darimi

[11] Al-Darimi, op.cit., 1/53.

[12] Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah, I’lam al-Muwaqi`in min Rabb al-‘Alamin,Beirut: al-Maktabah al-`Asriyyah, 2/262.

[13] Ahmad Qutub al-Din Wali Allah al-Dihlawi, Hujjat Allah al-Balighah, Qahirah, Dar al-Kutub al-Hadithah, hal. 157.

[14] Ibn al-Qayyim, op.cit, 263.

[15] Dipetik dari Wahbah al-Zuhayli (1986), Usul al-Fiqh al-Islami, Beirut: Dar al-Fikr, hal.1130.

[16] Riwayat Ibn Majah dalam al-Sunan, 1/4, sebahagian dari hadith yang panjang.

[17] Ahmad, al-Musnad, 5/135. Hadith ini diriwayat juga oleh al-Tabarani, menurut al-Haithami dalam al-Majma` 8/264: rijalnya adalah rijal yang sahih.

[18] Lihat Hadith Abdullah bin Amr ibn al-`As dalam Sahih Muslim, 3/1473.

[19] Maksud hadith riwayat Muslim dalam kitab al-Jum’ah, 2/592.

[20] Riwayat ashab al-sunan kecuali al-Nasaii. Disahihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Dhahabi (Mustadrak, 1/96).

[21] Sunan al-Darimi, 1/44.

[22] Abu Nu’aiym al-Asbihani, Hilyat al-Awliya’, 6/142.

[23] Sunan al-Darimi, 1/44

[24] Abu Nuaym, op.cit, 10/190; Lihat juga: Miftah al-Jannah, hal.70

[25] Qadi ‘Iyadh, al-Syifa`, 2/558.

[26] Abu Nuaym, op.cit., 10/257.

[27] Al-Suyuti, op.cit., hal.70.

[28] Ibn Qudamah al-Maqdisi, Zam al-Musawisin, Mesir: Al-Faruq al-Hadithiah, t.t., hal.41.

[29] Lihat Muqaddimah Sahih Ibn Hibban, 1/102.

[30] Abd Ghani Abd Khaliq, Hujjiah al-Sunnah, hal.80-81.

[31] Al-Suyuti, op.cit., hal. 64-65.

[32] Muhammad al-Ghazali, Khuluq al-Muslim, (1920), Kuwait: Dar al-Bayan, hal.13.

[33] Bukhari dalam Adab al-Mufrad, (273), al-Hakim (2/613) katanya: Sahih mengikut syarat Muslim, Ahmad, menurut al-Haythami: rawinya adalah rawi yang sahih, 8/18.

[34] Lihat: Sahih al-Jami` al-Saghir, hadith no. 1889.

[35] Surah al-Qalam, 68:4.

[36] Surah al-Ahzab, 33:22.

[37] Muslim, Ahmad, Abu Daud. Sahih al-Jami` al-Saghir, (4811).

PADERI BESAR SABAH MASUK ISLAM


Kita sibuk bincang orang Islam keluar Islam,sekarang kita lihat pula orang Kristian terima hidayah Islam,paderi besar lagi tu dan masuk Islam terus buat dakwah Islam inilah beza antara Islam baka dan Islam tulen.

Mari kita lihat beliau 'membelasah' kitab Injil:

[Dengan gejala murtad terus bergolak agak elok direnung kembali temuramah ekslusif oleh Jamilah Aini Mohd. Rafiei bersama Ustaz Tajuddin Othman Abdullah (Reverend Thomas Laiden), bekas Paderi Besar Gereja-Gereja Seluruh Sabah].

BEKAS Paderi Besar Sabah, TAJUDDIN OTHMAN ABDULLAH, mengupas perbandingan yang cukup ilmiah di antara agama Islam dan Kristian

berdasarkan pengkajian yang cukup mendalam lagi terperinci berasaskan pengalaman menjadi Paderi Besar Kristian selama 12 tahun. Apa yang dihuraikan beliau itu adalah iktibar buat mereka yang MURTAD DARI AGAMA ISLAM.

Kristian menurut kitab Injil yang asal jika dikaji sedalam-dalamnya, maka jawapan akhir yang akan ditemui adalah ISLAM. Hakikat ini telah dibuktikan oleh ramai orang Kristian yang akhirnya mendapat hidayah Allah dan kemudiannya memeluk agama Islam.

Tetapi apa yang paling menakjubkan kali ini, kita berpeluang berkongsi pengalaman hidup yang tiada tolok bandingannya bersama USTAZ TAJUDDIN OTHMAN ABDULLAH, seorang bekas paderi besar di seluruh Sabah, yang dilahirkan sebagai saorang Kristian dan menghabiskan sebahagian besar dalam hidupnya untuk belajar menjadi paderi. Beliau yang selama ini berada di tahap paling tinggi dan mulia sekali di Sabah kerana berkedudukan untuk mengampunkan segala dosa yang dilakukan oleh orang-orang Kristian Sabah, contohnya orang yang paling berpengaruh ketika itu, Pairin Kitingan.

Pengalamannya sebagai Bekas Paderi di sekitar 80-an membuatkan beliau banyak mengetahui selok belok agama termasuk agama Islam. Setelah puas mengkaji, akhirnya Allah memberikan hidayah kepadanya dengan memilih Islam sebagai jalan hidup. Beliau kini bertugas di Majlis Agama Islam Melaka di bahagian Unit Kristianologi.

Bersama seterusnya dengan JAMILAH AINI MOHD. RAFIEI, turut hadir SUZILAWATI ROZAINOR ABBAS dengan jurufoto WAN ZAHARI WAN MOHD. SALLEH yang berdialog dengan beliau di Masjid Al-Azim (Negeri), Air Keroh, Melaka, baru-baru ini.

SEMASA KRISTIAN saya dikenali sebagai Paderi Thomas Laiden. Saya berasal dari Sabah dan berketurunan Solok.Agama asal saya ialah Roman Katholik. Saya mendapat pendidikan di Seminary Kepaderian Vatican Itali, iaitu institusi kepaderian terulung di Itali dan di dunia dengan dibiayai oleh Persatuan Kristian Sabah. Saya tamat pengajian pada tahun 1985 seterusnya bertugas sebagai paderi di Vatican.Seterusnya saya memohon untuk kembali ke negeri asal saya, iaitu Sabah.

Pada tahun 1988 saya ditukarkan ke Sabah dan berkhidmat sebagai paderi. Saya bertugas di Gereja St. Mary dan Persatuan Gereja Roman Katholik Sabah seluruh Sabah yang berpusat di Kota Kinabalu.

Keluarga saya terlalu kuat berpegang pada agama Kristian. Itulah sebabnya bapa menghantar saya ke Vatican, dengan harapan agar saya menjadi seorang paderi yang dikira jawatan yang terlalu mulia. Saya mempunyai ramai adik beradik tetapi kesemuanya perempuan. Saya adalah anak lelaki tunggal dalam keluarga.

Semasa menjadi paderi, saya banyak membuat kajian mengenai agama Kristian, Buddha, Hindu dan Islam. Ketika itu saya tidak tahu langsung tentang keindahan dan kecantikan Islam dan tidak pernah terlintas di fikiran untuk ke situ. Tambahan pula saya dibesarkan di dalam keluarga yang kuat mengamalkan agama Kristian. Saya aktif bergiat dalam dakyah Kristianisasi yang cenderung kepada banyak buku-buku Islam.

Setelah banyak membuat kajian, saya terfikir apabila saya dilantik menjadi paderi, saya mendapat kesimpulan yang saya sudah mula meragui agama yang saya anuti. Konflik Diri Yang Tidak Terbendung, ianya ketara di sekitar 1988, apabila sebagai seorang paderi diberi tanggungjawab yang besar iaitu untuk mengampunkan dosa manusia. Timbul di fikiran saya bagaimana saya sebagai manusia biasa bisa mengampunkan dosa manusia lain sedangkan para Nabi dan Rasul yang diutuskan Allah, mereka ini tidak sanggup mengampun dosa manusia dan tidak mampu mengampunkan dosa manusia. Saya mula serius membuat kajian mengenai Islam.

Apabila saya diberi tanggungjawab mengampun dosa orang-orang Kristian seluruh Sabah, jadi masa itu saya rasakan seolah-olah agama ini sengaja direka-reka oleh manusia. Seterusnya pada tahun 1989 saya kembali ke Vatican untuk membuat Kursus Kepaderian di sana selama tiga tahun. Di sana saya telah berjumpa dengan ketua paderi tertinggi seluruh dunia iaitu Pope John Paul. Saya telah berdialog dengannya dan bertanya akan perkara yang memusykilkan saya sepanjang saya menjadi paderi. Saya berkata kepadanya, "Paul, saya sekarang rasa ragu dengan agama yang kita ini". Dia terkejut dan bertanya, "Apa yang kamu ragukan?" Saya berkata, "Cuba John Paul fikirkan sendiri, kita ini seorang manusia biasa. Di negeri saya Sabah, di negeri saya sendiri setiap malam Ahad saya mengampunkan dosa orang Kristian yang beratus-ratus orang yang datang mengaku buat dosa. Mereka harap saya yang mengampunkan dosa mereka sedangkan para Nabi pun tidak pernah melakukannya." Beliau berkata, "Wahai Paderi Thomas, kamu ini dilantik menjadi seorang paderi, maka kamu ini seorang yang suci dan tidak mempunyai sebarang dosa," Saya katakan yang saya merasakan diri saya mempunyai dosa. Beliau seterusnya menyambung, "Memang kita manusia ini mempunyai dosa. Nabi Adam sendiri mempunyai dosa. Apabila seseorang yang telah dilantik menjadi paderi bermakna kamu ini telah dilantik oleh Jesus Christ. Jesus Christ tidak ada dosa maka kita sebagai paderi ini tidak mempunyai dosa."

Di situlah saya mula tidak percaya pada agama Kristian yang mengatakan ulamak-ulamak Kristian tidak mempunyai dosa. Saya katakan pada Paul yang ulamak Kristian itu pembohong. Dia terkejut lalu berkata, "Thomas, kamu telah dihantar hingga ke peringkat tertinggi untuk menjadi paderi, kenapa kamu berkata demikian. Cuba kamu jelaskan kenapa kamu kata agama Kristian pembohong".

Saya menyoalnya, "Jesus Christ itu Tuhan atau Nabi?" Beliau menjawab, "Dia Tuhan." "Saya bertanya kembali, Pernahkah orang nampak Tuhan? Bagaimana wujudnya Tuhan? Siapa Tuhan kita sebenarnya, Jesus Christ (Nabi Isa) atau Allah bapa? (Allah)." Beliau mengatakan Jesus itu Tuhan. Saya menyoal kembali, "Apa matlamat utama Jesus Christ diutus ke dunia?" Beliau menjawab, "Untuk menebus dosa bangsa manusia, semua bangsa dan agama." Jadi saya katakan padanya kenapa perlu ada paderi tukang ampun dosa jika Jesus Christ sudah menebus dosa semua manusia. Di situ dia mula pening dan terpinga sambil berkata, "Paderi Thomas awak ini telah dimasuki iblis sehingga berani mempertikaikan Kristian." Saya katakan padanya,"Kita seorang paderi yang suci, bagaimana iblis boleh masuk?" Saya juga katakan padanya saya mempunyai ibu bapa dan adik-beradik, apabila ibu bapa saya membuat dosa mereka mengaku di hadapan anak, kerana kedudukan saya ketika itu sebagai seorang paderi. Jadi saya terfikir bagaimana saya seorang anak boleh mengampunkan dosa ibu bapa.

Sepatutnya seorang anak yang meminta ampun dari ibunya.

Selepas perdebatan itu Pope John Paul meninggalkan saya, sebagai seorang paderi beliau tidak boleh marah kerana marah merupakan satu dosa.

Di dalam Kristian mempunyai tujuh rukun iaitu:-


  1. Ekaristi Pembaptisan - seseorang yang ingin memeluk Kristian Mereka mesti dibaptiskan air suci.

  2. Ekaristi Pengakuan - mengaku dosa di hadapan paderi

  3. Ekaristi Maha Kudus - memakan tubuh Tuhan (Khusti kudus)

  4. Ekaristi Minyak Suci - air suci

  5. Ekaristi Krisma - penerima ekaristi Maha Kudus layak menerima Krisma

  6. Kristi Imaman - menjadi paderi

  7. Ekaristi Perkahwinan - hanya untuk penganut awam (Paderi tidak menerima ekaristi ini)

Dalam Kristian air suci atau lebih dikenali sebagai Holy Water, adalah paling bernilai sekali. Untuk menjadi seorang Kristian, seseorang perlu menjalani Ekaristi Pembaptisan iaitu meminum air ini. Ia diperolehi dari proses uzlah yang dijalani sebelum menjadi paderi. Jika tidak mempunyai akidah yang benar-benar kuat, akidah boleh rosak disebabkan air ini. Contohnya ialah seperti apa yang berlaku ke atas seorang doktor perempuan Melayu di Selangor. Setelah minum, beliau langsung tidak boleh mengucap, hatinya telah tertutup. Menurutnya beliau sudah tidak yakin lagi dengan agama lain kecuali Kristian sahaja kerana melalui Kristian beliau boleh melihat Tuhan Jesus yang turun setiap malam. Itulah permainan iblis. Sesiapa yang meminum air tersebut dapat melihat apa sahaja. Sebaik sahaja doktor tersebut meminumnya, akhirnya beliau memeluk Kristian. Saya pergi menemuinya, dia katakan kepada saya Islam tidak benar, hanya Kristian agama yang benar kerana umatnya boleh melihat Tuhan. Apabila saya tunjukkan air itu kepadanya sambil bertanya pernahkah beliau meminumnya. Beliau menjawab memang pernah meminumnya semasa beliau belajar di Indonesia; apabila pergi ke gereja beliau akan diberi minum air tersebut. Beliau menyatakan kepada saya beliau akan hidup dan mati dalam Kristian. Saya membacakan kepadanya surah Al-Kahfi di samping memintanya mengamalkan surah tersebut setiap masa. Alhamdulillah lama-kelamaan keadaannya semakin pulih.

Inilah permainan sihir sebenarnya. Tidak siapa dapat melawan ilmu Allah, hanya ilmu Allah sahaja yang berkesan menghapuskan permainan sihir. Tidak lama kemudian beliau kembali mengucap dan terus menangis.

Saya katakan kepadanya saya sudah terlalu berpengalaman dengan taktik Kristian. Itulah, cara memikat orang untuk ke agama Kristian cukup mudah, tidak mengapa jika tidak percaya kepada agama Kristian, tetapi apabila minum air itu segala-galanya akan berubah. Setelah saya mempelajari Islam barulah saya tahu rupanya iblis ini boleh menyerupai bermacam rupa. Kekuatannya hanya pegangan akidah.. Tetapi Holy Water ini sekarang tidak boleh lagi diedarkan di Malaysia kerana orang yang pembuatnya di biara Vatican telah memeluk Islam dan membongkar rahsia ini. Ramai orang sudah tahu mengenai air ini dan mula berhati-hati dengan setiap apa yang meragukan.

Rukun yang kedua pula iaitu Ekaristi Maha Kudus bermaksud memakan tubuh Tuhan. Saya pernah berhujah dengan John Paul mengenainya. Saya katakana padanya sedangkan Firaun yang zalim itupun tidak pernah memakan tubuh tuhan kenapa pula kita sebagai ulamak Kristian boleh makan tubuh tuhan?.

Saya jelaskan kepadanya, apabila semua paderi memakan Khusti Kudus (sejenis makanan yang diimport khas dari Itali) bermakna itu satu penghinaan kerana tubuh tuhan boleh dimakan. Kata beliau, itu memang sudah menjadi rukun Kristian dan tidak boleh dipertikaikan lagi. Apa yang paling merbahaya ialah Holy Water. Khusti Kudus tidak mempunyai rahsia apa-apa, ia seolah-olah seperti roti yang dicampur dengan bahan lain. Berlainan dengan Holy Water yang kesannya cukup kuat.

Bayi-bayi yang baru dilahirkan pun dibaptiskan. Terdapat sesetengah klinik yang membaptiskan bayi walaupun bayi tersebut Islam. Bagi kepercayaan Kristian setiap bayi yang baru lahir wajib dibaptiskan kerana ia mempunyai dosa, ia menyimpan dosa pusaka yang ditinggalkan datuk moyang mereka. Ia berlainan dengan Islam, Islam meletakkan bayi yang baru lahir itu adalah dalam keadaan fitrah (bersih). Sebenarnya agama Kristian ini salah. Di dalam semua kitab tidak ada mengenai agama Kristian. Kristian ini baru sahaja berkembang oleh seorang Paul yang pertama di zaman Julius kemudian beliau mengembangkannya. Asal agama Kristian ialah dari agama Yahudi dan Nasara. Tetapi di Romawi ia dinamakan Kristianisasi. Jika kita meneliti di dalam kitab Nabi Isa (Injil) tidak ada disebut Kristian.

Sebenarnya semua ulamak Kristian tahu mengenai kedudukan agama Islam. Pernah terjadi dalam tahun '78, semasa itu saya terjumpa kitab yang menyatakan kebenaran dan Nabi Muhammad. Tetapi semasa itu saya tidak begitu memperdulikannya. Di dalam kitab tersebut ada menyebut mengenai Ahmad iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Ketika itu saya masih belajar di Vantiken, oleh kerana saya kurang sihat saya tidak dapat mengikut kelas pengajian. Saya diberi tugas oleh seorang paderi untuk menjaga sakristi perpustakaan yang terdapat di gereja) untuk menjaga kitab-kitab di situ. Paderi tersebut mengatakan kepada saya, Thomas, kamu perlu menjaga kesemua kita-kitab di sakristi ini tetapi kamu tidak boleh membuka almari." Beliau menunjukkan kepada saya almari yang dimaksudkan. Saya hairan kerana beliau melarang saya membuka almari tersebut sedangkan kuncinya diserahkan kepada saya. Sifat manusia, apabila dilarang maka itulah yang ingin dibuatnya. Ketika itu semangat saya terlalu berkobar-kobar untuk mengetahui isi kandungan kitab yang diturunkan kepada Nabi Isa a.s. Saya mengambil kitab itu dan menyembunyikannya.

Kitab tersebut ditulis di dalam bahasa Hebron. Ia masih saya simpan hingga ke hari ini dan saya dalam proses untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu. Ia menjadi rujukan kepada saya, dan sebagai bukti untuk berdebat dengan orang-orang Kristian. Saya telah utarakan kepada Majlis Agama Islam Melaka, jika boleh saya ingin menterjemahkannya dan sebarkan kepada orang ramai. Pihak Majlis tidak berani melakukannya, menurut mereka ia akan mengancam nyawa saya kerana dengan pendedahan kitab tersebut rahsia Kristian akan tersebar.

Isi kitab tersebut sama dengan al-Quran. Rupa-rupanya barulah saya mengetahui semasa upacara mengangkat sumpah dalam proses beruzlah pada hari yang ke 39, setiap paderi akan meletakkan tangan mereka ke atas kitab yang dibalut dengan kain putih yang diletakkan di atas bantal. Tidak siapa dibenarkan membukanya dan lihat isi kandungannya. Berbalik kepada kisah saya mencuri kitab tersebut, selepas kehilangannya paderi yang menyerahkan kunci kepada saya dahulu memanggil saya dan bertanya apakah saya ada mengambilnya. Saya menafikan dengan mengatakan tidak pernah mengambil kitab tersebut. Hati saya nekad untuk tidak mengaku dan menyerahkannya kerana saya ingin mengkaji kitab tersebut.

Disebabkan seseorang bakal paderi tidak boleh berbohong, beliau mempercayai pengakuan saya. Akhirnya pada keesokannya iaitu pada hari mengangkat sumpah, disebabkan Injil tersebut telah hilang, mereka meletakkan kitab suci al-Quran (yang dibalut dan sentiasa tersimpan di almari) sebagai ganti kitab yang hilang.

Al-Quran digunakan di dalam upacara mengangkat sumpah? Semua paderi tidak tahu hal ini kecuali saya. Pada masa itu saya terfikir, apa gunanya jika kita bersumpah di atas kitab al-Quran tetapi masih tidak beriman dengannya? Bermakna semua paderi telah bersumpah di atas al-Quran tetapi kufur selepas itu. Menyingkap saat saya didatangkan hidayah ialah ketika saya sudah tamat belajar dan bertugas di Gereja St Mary, Sabah.

Pada suatu malam Ahad pada tahun 1991, saya bersembahyang dengan cara Kristian) di hadapan tuhan-tuhan saya iaitu. Tuhan Bapa, Ibu Tuhan (Mary) dan Anak Tuhan (Jesus Christ). Ketika itu saya terfikir di dalam hati, patung-patung ini diukir oleh manusia, saya menyembahnya setiap hari di dalam bilik.' Apabila saya selesai sembahyang saya meletakkannya di bawah tempat tidur. Hati saya berkata, alangkah hinanya Tuhanku. Kenapa aku boleh meletakkannya di bawah tempat tidur yang boleh aku baringkan dan letak sesuka hatiku?

Turunnya Hidayah Malam itu, selesai sembahyang saya mengambil sehelai kertas dan saya tulis diatasnya, "Tuhan, diantara agama Islam, Kristian, Hindu dan Buddha aku telah mengetahui semua agama ini.Malam ini tolonglah tunjukkan kepadaku manakah di antara tiga agama ini yang benar bagiku". Setelah itu, tak tahulah saya katakan bagaimana mengantuknya mata saya yang tak pernah-pernah saya alami rasa mengantuk yang lain macam, mata saya langsung tidak boleh terangkat.

GAMBAR KAABAH DARI DALAM



Gambar Lama Kaabah Dari Dalam

Gambar Terkini (SEKARANG) Kaabah Dari Dalam

Kunci Terkini Pintu Kaabah

Thursday, November 12, 2009

JIWA TANPA HIDAYAH TERIMA SEKSAAN PALING BERAT

Oleh Juanda Jaya


Rahmat, musibah diturunkan Allah patut jadi medan umat muhasabah diri setiap saat


SESUNGGUHNYA orang yang memiliki ketajaman mata hati mengakui bahawa bencana dan seksa Allah tidak hanya dalam bentuk kelaparan, sakit, miskin dan muflis. Sesungguhnya bencana paling hebat ialah azab Allah bersifat maknawi, tidak nampak di mata manusia tetapi kesannya sungguh dahsyat dirasai.
Ia boleh membuat hati mereka tertekan seperti disebut dalam al-Quran yang bermaksud: "Barang siapa yang Allah menghendakinya mendapat petunjuk nescaya Dia melapangkan dadanya untuk menerima Islam. Siapa yang dikehendaki Allah mendapat kesesatan nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit seolah-olah ia sedang mendaki ke langit." (Surah Al-An'am, ayat 125)
Walaupun semua nikmat dunia sudah dimiliki dada rasa sempit, susah, takut, risau dan sedih. Bukankah perasaan itu adalah azab yang bersifat maknawi? Apakah lagi azab Allah yang ditimpakan kepada manusia supaya mereka beringat? Azab di hati, tidak berasa manisnya iman. Mengapa orang yang lalai kepada Allah hidupnya bergelumang harta dan kuasa? Tidak nampak kesusahan pada wajah mereka, sentiasa sihat dan gembira dengan apa dimiliki. Tetapi benarkah mereka bahagia?
Mana mungkin harta boleh membeli ketenangan jiwa, bahkan hakikatnya semua yang ditonjolkan adalah palsu belaka. Hati mereka menjerit dikejar rasa bersalah, diburu bayang-bayang dosa dan maksiat yang dilakukan.
Nurani yang bersih sentiasa berbisik bahawa mereka melakukan kesilapan memilih jalan sedangkan nafsu yang keji cuba menjerat dengan pelbagai kenikmatan sesaat. Memang mereka menikmati segalanya tetapi jiwa tidak pernah puas, hampa dan kosong.

Allah menyeksa dengan cara mengunci mati hati mendapat hidayah-Nya. Azab Allah membuat hidup seseorang tidak menentu, tertekan, tersesat tanpa kuasa yang boleh menolongnya selain Allah.
Jika Allah cabut kemanisan iman dari hati, sesungguhnya Dia mengazab mereka secara senyap, ramai yang sembahyang tetapi tidak rasa manisnya sujud atau khusyuk dan mereka berilmu tetapi tidak mengenal jalan menuju Allah.
Mereka kaya tetapi tidak merasai keberkatan hartanya. Mereka kepenatan mengejar dunia, menitiskan air mata untuk dunia, risau dan takut kerana dunia, berjuang untuk dunia, sakit dan akhirnya mati untuk dunia tanpa melalui kemanisan saat beribadah dan kenikmatan memuji Allah.
Hati tempat jatuhnya rahmat dan azab Allah. Alangkah ramainya manusia yang tidak menyedari dirinya sedang diazab kerana dosa membutakan hati sehingga tiada mampu membeza manakah salah satunya, antara rahmat atau azab?
Kata-kata pendeta Bani Israil dalam kitab Ibnul Qayyim Al-Jauzi, 'Shaydul Khatir': "Oh Tuhanku, aku sering berbuat maksiat tetapi mengapa tak kunjung datang azab-Mu menimpaku? Dikatakan kepadanya: Betapa banyaknya azab Allah menimpamu, tetapi engkau tidak tahu bahawa itulah azab Allah. Tidakkah engkau merasa dihalang dirimu merasai kenikmatan bermunajat kepada-Nya?"
Orang berilmu buta hati jika ia menganggap dirinya sentiasa dirahmati Allah walaupun maksiat menghiasi peribadi, apatah lagi orang awam yang kering iman lagi jahil. Walaupun mesti bersangka baik kepada Allah, jangan sampai dia langsung tidak kisah dengan karat maksiat dan hanya berlagak umpama suci dalam debu.
Semakin dia rasa tidak kisah dengan maksiat itu, semakin hatinya kotor dan tidak layak dijatuhi pandangan rahmat-Nya. Kemudian dia tidak mampu lagi membeza mana rahmat dan mana azab, akhirnya buta hati.
Azab di mata, tidak mahu membaca hikmah peringatan Allah. Setiap peristiwa mesti mengandungi hikmah untuk kebaikan manusia. Ujian dan azab yang dideritai adalah bentuk tarbiah berkesan untuk menyedarkan kesilapan manusia.
Tetapi, ada pula orang yang semakin diuji semakin teruk kesesatannya, bahkan berterusan melakukan maksiat. Azab di atas azab! Apabila sakit yang dideritai, kehilangan harta, kegagalan hidup dan ajal maut sama sekali tidak menyedarkan bahawa semua itu adalah peringatan Allah.
Padahal duri yang mencucuk kulit itu menyimpan petanda peringatan daripada Allah bahawa manusia memang lemah, miskin dan tidak berupaya melawan kehendak Allah. Orang yang degil dan derhaka anggap semua itu lumrah hidup tiada campur tangan Allah.
Ketika sakit dia menyumpah seranah, jika rugi dia membuat penyelewengan demi mendapat keuntungan secara haram, jika dizalimi dia membalas dendam dengan kezaliman yang lebih teruk ke atas orang lain.
Tidak ada kamus taubat dan insaf dalam hidupnya. Mereka tidak mahu mengambil pelajaran kisah penyelewengan manusia yang berakhir dengan kesengsaraan dunia akhirat. Mata, telinga, hati dan akal dikurniakan Allah untuk mendapat hidayah tidak dimanfaatkan sehingga kesesatan tiada berakhir.
Firman Allah yang bermaksud: "Perumpamaan mereka seperti orang yang menyalakan api, maka selepas api itu menerangi sekelilingnya Allah hilangkan cahaya (yang menyinari) mereka, dan membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat. Mereka tuli, bisu dan buta." (Surah al-Baqarah, ayat 17)
Mengapa manusia mudah tertipu? Bukankah mereka tahu musuh paling berbahaya ialah iblis dan syaitan tetapi mereka menjadikannya teman setia? Manusia juga dibekalkan syariat, hati dan mata. Justeru, dengan modal itu mereka pula semakin tersesat.
Orang Islam mengetahui syurga dan neraka, tetapi ramai pilihannya selalu silap. Mereka tahu dunia ini palsu dan menipu tetapi di situlah mereka memuaskan nafsu. Jadi, bagaimana menyelamatkan diri daripada kebodohan sendiri yang selalu tertipu sebelum azab datang?
Setiap kali mengulangi dosa dan maksiat kepada Allah, cubalah ancam diri sendiri. Awas! Jaga-jaga kuasa Allah boleh menarik balik semua yang anda miliki. Bayangkan perkara negatif terkena pada tubuh, harta, anak, isteri dan keluarga, kedudukan serta kuasa.
Apabila seseorang hidup dalam zon selesa dan tidak pernah mengancam diri maka keadaan ini membuatnya hanyut, lalai dan lupa daratan. Jika dia sentiasa berjaga-jaga dan suka menakutkan diri, ia sebagai langkah pencegahan sebelum kemurkaan Allah tidak dapat dibendung. Cara paling berkesan untuk mengancam diri dengan azab Allah ialah dengan mentadabburkan al-Quran. Sesungguhnya al-Quran bukan hanya membawa khabar gembira kepada hamba Allah yang beriman bahkan ada ayat ancaman supaya manusia tidak leka dibelai dunia. Sedikit tertawa dan banyak menangis adalah wasiat Rasulullah SAW supaya manusia suka mengancam dan memperingatkan diri dengan seksa Allah yang begitu pedih.
Ketinggian akhlak manusia bergantung dengan seberapa kerap dia bersyukur kepada Allah. Orang itu layak dipanggil manusia paling mulia dan tahu mengenang budi. Sesungguhnya manusia tanpa sifat syukur seperti penderhaka yang mengambil kesempatan dan menikam dari belakang.
Walaupun ilmu menjulang ke langit, harta setinggi gunung, kuasanya segagah ruang angkasa tetapi jika sifat kufur mengatasi segala-gala maka dia menjadi sehina makhluk pada pandangan Zat Yang Maha Pemberi Nikmat.
Lebih baik hidup sebagai cacing yang sedar diri sambil berzikir pagi dan petang mengingat jasa baik Allah memberinya makanan di dalam tanah. Walaupun syukur sang cacing tidak dibalas dengan nikmat di akhirat tetapi dia pandai berterima kasih kepada Allah atas rezekinya dalam tanah. Cacing hanya makan kotoran tetapi pandai bersyukur. Manusia jauh lebih baik makanan dan nikmat hidup yang dianugerahkan Allah tetapi betapa sedikitnya yang pandai bersyukur.
Syukur bermakna berhias dengan lidah yang memuji saja tanpa sepatah pun mencela perbuatan Allah ke atas diri kita, berhias dengan perbuatan mengikut undang-undang Tuhan sekali gus menolak logik manusia yang bodoh berlagak tahu segala-gala.
Syukur itu perhiasan paling cantik jika dipakai, ilmu bermanfaat jika diamal dan akhlak indah pada pandangan Tuhan, bahkan ia boleh menahan azab yang turun dari langit. Allah berfirman yang bermaksud: "Jika kamu bersyukur, Aku tambahkan nikmat-Ku namun jika kamu kufur sungguh azab-Ku amat pedih."