Friday, December 11, 2009

En. A dilantik dg29 : 1987
MERASA DG32 (dapat kenaikan 25% tahun 2007 bersama beribu-ribu RM tunggakkan)
Lantikan DG41 : tahun 2008
Gaji sekarang: RM 4044.73

Saya umur hampir setengah abad
Lantikan dg29 : 01.05.1982
Lantikan dg41 : 01.10. 2005 (dapat 15% dari Tragedi 2007)
Masih lagi dg41 (InsyaAllah 2012 – DG44)
Gaji sekarang : RM 2871.70
Pencen : 2016 (Pada usia 56 tahun).
Pn. SU

… saya yang lebih senior menerima gaji yang lebih rendah gaji saya RM 2871.70, sedangkan En. A gajinya RM 4044.73. Beza saya 5 tahun lebih senior dari Pn. A dan perbezaan gaji ialah RM4044.73 – RM2871.70 = RM1173.30 (SERIBU SERATUS TUJUH PULUH TIGA DAN TIGA PULUH SEN )

Bayangkan kalau 2 tahun 24 x RM1173.30 = RM28,152.72
Sedih, kecewa, terhina oleh kerana gara-gara dg32 dan mereka menerima kenaikan 25%. Menyebabkan gaji saya lebih rendah berbanding orang yang lebih junior dari saya, lantikan 1987.

Cukup ZALIM, 20 tahun sebagai guru dg29 Cuma dpt 7 + 3
Saya TERANIAYA SEBANYAK 2 KALI
1. Terlepas dg32
2. Kenaikan dari dg29 ke dg41 hanya sebanyak RM5.00
Pn. SU ,
…….cubalah rasai apa yang kami tanggung…….perit, benci, kecewa,
lihatlah apa yang dah jadi. Tolong selesaikan masalah ini dalam masa sisa-sisa tempoh perkhidmatan saya dan rakan-rakan guru-guru tua yang berbaki hanya beberapa tahun saja lagi, untuk diberi pertimbangan ……..

Sekian. Terima-kasih. Pn SU.tolonglah guru-guru dg2941 yang TERANYIANYA ini. Bagaikan GEMPA BUMI apabila guru-guru dg32 mendapat durian runtuh -ribuan ringgit padahal mereka tidak perlu bersusah payah menyambung pelajaran. Sungguh KEJAM !!!!!!!!

Guru Jadi Kerani Sekolah ?

Sumber: Forum Utusan Malaysia |10 Disember 2009|

SAYA merujuk maklum balas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Alimuddin Md. Dom terhadap tulisan saya di Forum Utusan Malaysia yang bertajuk Erti Sebenar Guru Cemerlang.

Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana barangkali saya tidak menulis secara jelas tentang apa yang saya maksudkan dengan beban kerja perkeranian dalam tulisan itu. Biar saya jelaskan lebih lanjut tentang ‘beban kerja perkeranian’.

Contoh pertama: Tugas guru kebajikan dan biasiswa. Saya berpendapat, semua guru, terutama sekali guru tingkatan ialah guru kebajikan. Sebab itulah banyak hal peribadi murid yang mengganggu pembelajaran mereka ada dalam pengetahuan guru. Ibu bapa bercerai, ibu bapa bergaduh, ayah dibuang kerja, ibu lari dari rumah, semuanya diadukan kepada guru. Itu tak mengapa. Jika sedikit tepukan di bahu dan mengesat air mata murid boleh membantu mereka belajar, saya fikir tiada guru yang merungut.

Tetapi guru biasiswa, lain pula ceritanya. Mereka perlu membuat salinan borang, mengedarkan borang, mengutip semula borang dan memastikan semua borang diisi dengan betul, termasuk memastikan semua salinan dokumen sokongan lengkap, seperti salinan kad pengenalan dan sebagainya. Sebelum semua ini bermula, mereka perlu mencari murid yang miskin untuk diberi bantuan biasiswa. Ada banyak jenis biasiswa untuk murid sekolah dan semuanya ada syarat layak yang tertentu, tetapi secara umumnya murid yang keluarganya mempunyai pendapatan kurang daripada seribu ringgit sebulan, layak mendapat bantuan.

Soalnya, tidak bolehkah kerja mengenal pasti murid dan semua ‘kerja-kerja kertas’ itu dibuat oleh kerani? Apa kaitan pengurusan biasiswa yang banyak melibatkan kertas itu dengan kerja guru yang sebenar, iaitu P&P?

Contoh kedua: Saya fikir hampir semua guru sedar bahawa bagi orang-orang politik, semua masalah sosial negara perlu diselesaikan di sekolah. Benar, sekolah memang tempat mendidik, tapi apakah setiap kali ada masalah kita hendak buat satu persatuan atau kelab baru. Tugas guru ialah mendidik murid membezakan apa yang salah dan apa yang betul dan kita mengajar mereka supaya berfikir sendiri. Kita tidak boleh sebut satu-satu ‘merempit salah’, ‘hisap dadah salah’ atau ‘mencuri salah’, kerana ada terlalu banyak kerja jahat dalam dunia ini. Kita perlu ajar murid berfikir sendiri.

Tetapi apabila kita menghadapi masalah mengatasi jenayah, guru diminta membuat satu kelab antijenayah. Bila ada masalah dadah pula, kita buat pula kelab antidadah, seolah-olah masalah dadah bukan jenayah yang tidak boleh digabung dengan antijenayah. Kemudian kita dapati murid kita tidak sayang kepada negara, kita buat pula kelab kenegaraan, seolah-olah Persatuan Sejarah sudah gagal. Kita boleh buat 100 persatuan dan kelab pun mengikut kehendak masyarakat luar, tetapi siapa yang hendak membuat kerjanya? Mengadakan persatuan bukan semata-mata berkumpul dan membuat aktiviti. Guru perlu menyiapkan laporan, mendaftar persatuan, mengambil gambar, membuat perancangan tahunan. Ini semua ‘kerja-kerja kertas’. Mengapa tidak boleh hantar pegawai polis atau pegawai dari Biro Tata Negara (BTN) datang menguruskan persatuan ini di sekolah? Datanglah setiap hari Sabtu misalnya, untuk aktiviti ini.

Contoh ketiga: Guru data. Tugas guru ini ialah merekodkan hal perjawatan guru, misalnya, tarikh lapor diri, tarikh lantik, tarikh temuduga, tarikh sah jawatan, tangga gaji, kursus dan sebagainya. Oleh kerana tugas merekod ini berat, maka guru-guru Data biasanya dikurangkan waktu mengajar, kepada 12 hingga 15 waktu daripada biasanya 25-29 waktu untuk guru-guru lain (setiap waktu ialah 40 minit di sekolah menengah dan 30 minit di sekolah rendah). Masalahnya, guru-guru data ini merekodkan perkara yang Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran sudah tahu, contohnya, tarikh-tarikh penting seperti tarikh lapor diri, tarikh lantik, tarikh sah jawatan. Bukankah surat datang dari SPP?

Contoh keempat: Guru tingkatan. Guru tingkatan ialah antara orang yang paling sakit kepala di sekolah kerana semua guru-guru lain bekerja melalui guru tingkatan. Guru biasiswa hendak edar borang, suruh guru tingkatan. Sekolah hendak cuti, guru tingkatan perlu edar surat. Guru SPBT hendak edar buku teks, guru tingkatan perlu uruskan. Murid kemalangan, hendak mohon insurans, guru tingkatan juga perlu uruskan. Guru Penolong Kanan kokurikulum hendak maklumat kokurikulum murid, pun suruh guru tingkatan, bukan suruh guru persatuan atau kelab. Murid tidak datang sekolah, guru tingkatan perlu hantar surat amaran. Kelas tak ada penyapu, pun guru tingkatan kena belikan. Kadang-kadang kalau kelas kotor, cikgulah yang kena menyapu walaupun sekolah ada tukang sapu swasta. Kalau pegang kelas baik, tak apa. Tapi kalau dapat kelas belakang, memang guru boleh kena serangan jantung.

Sekarang ini syukurlah kita ada sistem online yang mengumpul data peribadi murid yang kita panggil Sistem Maklumat Murid (SMM). Seorang guru dilantik menjaga SMM ini. Jika guru data menjaga maklumat guru, guru SMM menjaga maklumat murid. Tetapi, walaupun SMM sudah ada, guru tingkatan masih perlu mengisi kad 001. Untuk apa, saya pun tidak tahu. Setiap tahun, guru yang memegang kelas tingkatan 1 perlu menyiapkan kad 001 seawal bulan Februari atau Mac. Tetapi selepas itu tiada siapa yang hendak mengurus kad 001 itu, sebab hampir semua keperluan maklumat murid akan diambil dari SMM. Jika kita ada setengah juta murid baru masuk ke tingkatan satu, ada setengah juta lagi murid baru masuk darjah satu. Jika harga kad 001 itu satu ringgit, kita membelanjakan satu juta ringgit untuk kad 001 yang tidak digunakan pun. Ini duit siapa satu juta ini? Dan hal menguruskan kad 001 itu, tenaga siapa kalau bukan guru?

Contoh kelima: Guru perabot. Bila ada masalah perabot sekolah, guru ini kerjanya mengangkut kerusi meja yang rosak dan mengira berapa banyak perlu dihapuskan, berapa banyak perlu mohon yang baru, dan berapa banyak boleh dibaiki. Adakah semua ini membantu murid meningkatkan prestasi akademik dan sahsiah sebagaimana disebut oleh KPPM dalam tulisannya? Barangkali KPPM tidak pernah nampak rupa guru bermandi peluh turun naik tangga mengangkut perabot, ada yang ringan, ada yang berat. Saya pernah nampak; macam buruh yang kerja membuat bangunan.

Saya tidak nafi, di luar negara pun amalannya ialah melantik guru akademik membuat kerja pentadbiran. Tapi berapa banyak kerja pentadbiran yang mereka ada? Adakah sampai memakan masa 70-80% masa kerja? Saya pernah melawat sekolah di luar negara, dan Guru Besar mereka pun mengajar hampir separuh daripada masa kerja dan membuat kajian tindakan. Adakah Guru Besar dan Pengetua kita membuat kajian tindakan? Setahu saya, hanya negeri Johor mewajibkan semua guru membuat kajian tindakan, itupun ramai yang membuat kajian ‘depan komputer’ kerana kesuntukan masa.

Akuilah, kerja pentadbiran memang sudah mengganggu tugas hakiki guru kita. Kalau tidak mengapa Menteri Pelajaran sejak Datuk Hishamuddin bercakap tentang beban kerja guru?

Mengapa Menteri Pelajaran pernah menyebut tentang institut latihan guru sukan, supaya guru akademik tidak perlu lagi membuat tugasan kokurikulum, sebagai usaha mengurangkan beban kerja guru?

Adakah Menteri Pelajaran tanpa latar belakang pendidikan lebih sedar hakikat di sekolah berbanding KPPM yang pernah menjadi guru? dan mengapa perlu ada Standard Guru Malaysia (SGM) jika kita sudah ada Tonggak 12, kalau bukan kerana guru kita sudah terpesong dari apa yang digariskan dalam Tonggak 12, dek kerana kerja-kerja perkeranian ini? Atau adakah SGM dibuat supaya lebih banyak ‘kerja-kerja kertas’ dibuat oleh guru?

Monday, December 7, 2009

Pemimpin Sekolah

Sumber: Pendidikan Berita Harian |1 Disember 2009|

Gambar hiasan

Gambar hiasan

Ikuti pandangan Felo Penyelidik Kanan Institut Pengajian Kepengetuaan Universiti Malaya, Prof Datin Dr Rahimah Ahmad, mengenai peranan pengetua dan guru besar sebagai pemimpin sekolah seperti disampaikan kepada wartawan pendidikan Berita Harian, Norliza Abdullah.

TUGAS pengetua dan guru besar sebagai pemimpin sekolah kini semakin mencabar kerana selain berdepan tuntutan hakiki memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berjalan lancar, pada masa sama mereka terpaksa memenuhi pelbagai tanggungjawab lain.

Antaranya mereka juga perlu menghadiri mesyuarat di pejabat pendidikan daerah dan jabatan pelajaran negeri, selain mengikuti kursus berkaitan.

Bebanan tugas itu menjadikan mereka ada kalanya tidak terkejar dan terpaksa mengagihkan tugas mengurus kepada guru penolong kanan.

Proses mengagihkan tugas kepada guru lain itu dapat mewujudkan semangat kerja dalam pasukan yang tinggi, selain memberi kepercayaan pegawai lain dalam menjayakan tugas mengurus.

Namun pada masa sama, sesibuk mana sekali pun mereka, pemimpin sekolah tidak boleh melepaskan tanggungjawab mengawal selia proses P&P kerana ia adalah aktiviti teras yang menjadi tunggak kecemerlangan pendidikan.

Sunday, December 6, 2009

Erti Sebenar Guru Cemerlang

Erti Sebenar Guru Cemerlang

Sumber: Forum Utusan Malaysia |3 Disember 2009|

SAYA merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, yang menyarankan agar guru-guru menerima sahaja tugasan yang diberi kerana ia akan membentuk sikap bertanggungjawab dan dedikasi kepada tugas sebagai pendidik.

Sebagai guru, saya percaya semua guru bersetuju dengan pandangan beliau. Pendedahan kepada pelbagai bidang tugas memang satu nilai tambah kepada modal insan guru.

Namun begitu, saya berpendapat, sebagai Ketua Pengarah Pelajaran, beliau patut sudah mengetahui tentang bebanan tugas guru yang sudah menyebabkan hampir 80 peratus guru hilang fokus, masa dan tenaga yang sepatutnya ditumpukan kepada tugasan sebenar, iaitu mengajar di dalam kelas. Perkara ini jika berlarutan, kalau ditambah bilangan guru 10 kali ganda pun, tapi kalau semuanya hendak buat kerja pentadbiran, memang tidak berubah keadaan sekolah-sekolah kita.

Inilah yang menimbulkan rungutan guru-guru. Apabila proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) terganggu, murid ketinggalan dalam akademik dan menimbulkan masalah disiplin. Kemudian ibu bapa pula merungut. Padahal sebagai guru, kita sudah melakukan apa yang termampu dengan masa dan tenaga yang terhad.


Tugas perkeranian ini bukan sahaja sudah menyebabkan tumpuan kepada bidang akademik terganggu, malah ia telah mengelabui mata para pentadbir dalam bidang pendidikan juga, bermula dari pentadbir sekolah, sehinggalah ke peringkat jabatan pelajaran negeri-negeri.

Malah, pada pendapat saya, pelantikan Ketua Pengarah Pelajaran dari kalangan guru yang merupakan orang akademik (yang akhirnya terpaksa duduk di pejabat membuat tugasan pentadbiran) ialah bukti bagaimana fokus kepada akademik telah dilonggarkan, kerana tuntutan kerja-kerja pentadbiran. Bayangkanlah kalau seseorang pada tahap kematangan dan pengalaman yang ada pada Alimuddin, duduk di dalam kelas untuk mengajar. Beliau barangkali boleh menghasilkan beratus-ratus lagi anak bangsa yang bakal menyumbang kepada negara. Tapi akhirnya beliau diletakkan di pejabat.

Kenapa tidak kita berikan kerja pentadbiran kepada orang pentadbiran, dan kita orang akademik, buatlah kerja akademik. Kenapa guru yang sudah berpengalaman bertahun-tahun akhirnya disuruh membuat kerja pentadbiran? Bukankah pengalaman dan pengetahuan mereka boleh membantu lebih ramai murid menjadi cemerlang? Adakah menjadi orang akademik terhebat masih rendah tarafnya berbanding orang pentadbiran yang duduk di pejabat?

Lihatlah bagaimana pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, prestasi melintang (sudah tidak akan diamalkan lagi) pelantikan guru pakar, guru bestari dan guru cemerlang. Adakah mereka yang diberi semua penghargaan ini dilantik di kalangan guru yang anak murid mereka menunjukkan peningkatan prestasi akademik? Tidak!

Kebanyakan penerima anugerah dan pentadbir-pentadbir sekolah, pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri dilantik di kalangan orang yang menonjol di bidang pentadbiran semata-mata. Sebab itulah kita lihat masih ada murid yang gagal subjek-subjek tertentu walaupun diajar oleh guru pakar, guru cemerlang dan guru bestari. Ini kerana yang ‘bestari’, ‘cemerlang’ dan ‘pakar’ ialah kerja pentadbiran guru itu, bukan teknik P&Pnya. Sekarang ini dengan peperiksaan PTK, guru yang malas masuk kelas pun boleh dapat kenaikan gaji dan pangkat.

Malah, saya sendiri pernah melihat seorang guru yang sangat konsisten. Guru ini setiap tahun (selama hampir 18 tahun) mencatatkan peratus lulus subjek Sains melebihi 95 peratus di semua kelas yang diajarnya, walau pun saban tahun mendapat kelas paling hujung, walaupun mengajar murid yang buta huruf, walaupun format peperiksaan kerap bertukar.

Beratus-ratus muridnya daripada tidak mengenal huruf, akhirnya mendapat A dalam subjek Sains SPM. Tetapi guru ini tidak pernah diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, hanya kerana guru ini tidak mempunyai hubungan baik dengan pentadbir sekolah yang hanya mementingkan kerja pentadbiran. Guru ini pula memang menolak kerja pentadbiran kerana kerja pentadbiran akan menyebabkan dia mengabaikan murid-muridnya, sesuatu yang guru ini enggan lakukan.

Bagi saya, sekalipun guru ini dilihat ‘melawan ketua’, tetapi komuniti kecil guru-guru dan murid-murid sekolah menyanjung dan menghormati guru ini kerana keberaniannya meletakkan fokus pada apa yang berhak, iaitu murid-murid. Guru ini juga tidak lokek membantu guru-guru muda dari segi memberi bimbingan tentang teknik P&P yang berkesan. Bagi guru muda seperti saya, inilah guru dalam erti kata sebenar.

Bagaimana boleh berlaku, dalam Kementerian Pelajaran Malaysia, guru yang pandai mengajar diketepikan berbanding guru yang hanya pandai menaip dan mengemas fail? Di manakah profesionalisme guru? Bagi saya, seorang guru itu profesional jika dia pandai mengajar kerana itulah sebenarnya tugas hakiki seorang guru. Tapi hari ini, guru yang membuat kerja yang betul tidak diberi penghargaan sepatutnya, dan guru yang tidak pandai mengajar pula yang diletakkan di tempat tinggi, diberi elaun, kuasa dan jawatan. Bagaimanakah guru-guru yang setiap hari berhempas-pulas dengan murid di dalam kelas hendak menghormati pentadbir mereka yang tidak pandai mengajar pun?

Malah, pentadbir itu pula yang akan duduk di belakang kelas menilai sama ada guru lain pandai mengajar atau tidak. Hanya kerana mereka pentadbir, mereka ada kuasa memberi markah. Tapi mereka menjadi pentadbir bukan kerana mereka pandai mengajar, tapi pandai membuat kerja lain selain mengajar. Bagaimanakah pentadbir sekolah seperti ini layak menuntut penghormatan daripada warga guru? Saya pernah melihat seorang pengetua sekolah yang diletakkan mengajar hanya dua waktu seminggu, terpaksa meminta guru lain mengambil alih kelasnya kerana dia terlalu kerap keluar dan tidak ada di sekolah.

Jika hari ini masyarakat melihat guru sebagai tidak professional, itu ialah kerana hampir semua guru terpaksa membuat kerja menaip dan mengemas fail, suatu kerja yang boleh dibuat oleh budak lepasan SPM.

Jika hari ini masyarakat melihat guru tidak berilmu, ia adalah kerana guru asyik mengisi borang, bukan mengisi dada dengan ilmu.

Saturday, November 21, 2009

Kita percaya atas sokongan dan dokongan rakyat malaysia dibawah kepimpinan PM kita hari ini negara akan lebih maju dibidang ekonomi walaupun negara sedang di ancam oleh kegawatan global. Jangkaan 5 % akan menjadi kenyataan. Perangi rasuah dari masa ke semasa malah perasuah hendaklah dibawa kemuka pengadilan sekiranya terbukti, malah jangan sekali-kali bersekongkol dengan mereka. Rakyat mula mual dengan berbagai slogan. slogan hanya tinggal slogan.

Saturday, November 14, 2009

MAJLIS MAKAN MALAM DI NEW HORIZON


Majlis makan malam pelajar asrama Villa Puteri yang di adakan di Kota Bharu pada hari Rabu lepas meninggalkan kenangan manis terutama pelajar tingkatan 5 yang akan meninggalkan sekolah menengah Kebangsaan Gaal di penghujung tahun ini .
Suka duka sepanjang menimba ilmu di sekolah ini memberi kesan yang mendalam ujar seorang pelajar yang bernama Sezira (gambar kiri) dari kampong Gaal.
Saya sungguh teruja melihat kesungguhan guru-guru sekolah ini mendidik dan mengajar kami agar berjaya cemerlang dalam peperiksaan SPM 2009. Saya ucapkan berbanyak terima kasih tidak terhingga semoga Allah sajalah yang membalasnya

MAJLIS KERAIAN VILLA PUTERI SMKG


Tn. Hj. Awang bin Daud (gambar kiri) pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Gaal Pasir Puteh Kelantan sedang menyampaikan ucapan di majlis makan malam Villa Puteri yang diadakan di salah sebuah restoren yang terkenal di bandar Kota Bharu yang bernama New Horizon.
Beliau mengingatkan kepada para pelajar agar berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dibidang kurikulum dan ko kurikulum.
Seramai 120 orang pelajar beserta 30 orang guru turut hadir bagi memeriahkan majlis tersebut. Pelajar diraikan dengan jamuan makan yang istemewa .Sekiranya pada tahun ini para pelajar yang tinggal di asrama menunjukkan prestasi yang baik dari segi akademik beliau membayangkan pada tahun akan datang majlis yang serupa akan diadakan ditempat yang lebih menarik lagi disekitar Kota Bharu ini.